Monday, 17 October 2016

Pengertian istilah Syiah



Image result for syiah


Fahaman atau kumpulan syiah ini bukannya wujud pada atau sebelum zaman Rasulullah, malah zaman Khalifah Ali pun, kumpulan syiah ini belum wujud lagi.  Golongan Ansar, Muhajirin, Aus, Khazraj dan Khawarij adalah sebahagian nama-nama golongan yang pernah tercatat dalam sejarah Rasulullah. Tiada bukti yang tertulis menunjukkan wujudnya satu fahaman atau kumpulan yang dinamakan syiah ketika itu. Istilah "syiah" ini mula digunakan selepas kesyahidan cucu Rasulullah s.a.w, Saidina Husain bin Ali.

Syiah dari pandangan golongan syiah itu sendiri bererti pengikut, penyokong dan pencinta yang merujuk kepada Saidina Ali r.a dan ahlul baitnya. 

Menerusi ulama syiah, Fairuz Abadi di dalam Qamus al-Lughat pada kalimat “شَاعَ” menyatakan: Syiah umumnya bererti setiap orang yang mengakui kepimpinan Ali dan Ahlul Baitnya.
Dari mana penggunaan perkataan "Syiah" ini di ambil?

Syiah dari sudut bahasa bererti pengikut. Perkataan ini ada disebutkan di dalam ayat al-Quran menerusi surah as-Safat: 83

واِنَّ مِن شِيعَتِهَِ لاِبرَاهِيم
“Dan sesungguhnya Ibrahim benar-benar termasuk Syiah-nya (pengikut Nuh)”
Sementara di dalam ayat lain:
هذا مِن شِيعَتِهِ وهذا من عَدُوِّهِ فاسْتَغَاثَهُ الذِي مِنشِيعَتِهِعَلى الذِي مِن عَدُوِّهِ
“(Orang) ini adalah dari Syiah-nya (pengikutnya) dan (orang) ini adalah dari musuhnya. Lalu Syiah-nya meminta bantuan darinya terhadap lawan musuhnya” [al-Qasas: 15]

Ayat-ayat al Quran ini tidak merujuk kepada golongan syiah (al-Ithna ‘Asyariyyah, Ismailiyyah, Zaidiyyah dsb) yang kita kenali pada hari ini, malah tidak wujud pun pada zaman Nabi Ibrahim. Maksud syiah di dalam al Quran itu merujuk kepada pengikut sesuatu kaum/umat pada masa itu. Istilah itu adalah sekadar kata umum yang bererti pengikut, bukannya nama khas yang dikhususkan kepada pengikut Ali dan Ahlul Baitnya.


 Kumpulan yang bersimpati kepada kesyahidan dan amat menyanjungi Saidina Husain telah mengguna pakai perkataan "syiah" di dalam al Quran, untuk menamakan kumpulan mereka. Dan seterusnya istilah syiah ini sudah menjadi hak eksklusif khusus bagi golongan ini.

Permulaan kemunculan Syiah

Yang biasa menjadi pendapat umum, Syiah dikatakan puak yang menyokong Saidina Ali bin Abi Talib r.a. dalam pertelingkahannya dengan Muawiah bin Abi Sufyan r.a. Namun tidak bermakna pengikut Ali itu syiah dan pengikut Muawiah itu Sunni. Malah, ramai tokoh ahli sunni berkeyakinan bahawa dalam perselisihan yang berlaku di antara dua sahabat Rasulullah s.a.w ini, kebenaran lebih berpihak kepada pihak Ali berbanding dengan Muawiyah.

Sebenarnya, puak Syiah ini muncul selepas pertelingkahan Saidina Husain yang tidak mengiktiraf kekhalifahan Yazid bin Muawiah.

Kisahnya bermula apabila Saidina Husain berangkat dari Madinah menuju ke Kufah, Iraq setelah penduduknya berjanji untuk menyokong, melindungi serta membantunya sekiranya diserang mana-mana pihak. Namun janji-janji tersebut tidak dilaksanakan dan seterusnya menjadi punca syahidnya Husain di pertempuran Karbala.

Setelah Saidina Husain syahid, sebahagian mereka telah menyesali dosa mereka dan memberontak kepada pemerintahan Bani Umayyah. Mereka inilah dikenali sebagai Syiah. Ketika itu tidak ada perbezaan akidah melainkan perbezaan gerakan politik yang menentang pemerintahan Bani Umayyah. Ini bermakna Syiah adalah satu gerakan politik semata-mata di awal kemunculannya.

Permulaan gerakan Anti-Sahabat

Gerakan anti-sahabat Rasulullah dimulai oleh Abdullah ibn Saba’ (Ibn Saba') yang berasal dari kota Sana’a, Yaman. Dia adalah seorang bangsa yahudi yg menganut islam pada zaman Uthman tetapi kemudiannya tergolong kelompok munafik dikalangan umat Islam.

Saidina Uthman bin Affan diangkat menjadi Khalifah selepas Khalifah Umar bin Khatab dibunuh oleh Abu Lu’lu Al-Majusi . Ketika itu, berlaku pergolakan dan keresahan di kalangan umat Islam. Dengan ketegasan sikap dan kebijaksanaan Uthman, suasana pemerintahan dapat dikendalikan dengan aman dan ramai yang memeluk islam termasuk seorang pemuda Yahudi dari Yaman bernama Abdullah bin Saba'.

Bagaimanapun, Abdullah bin Saba' mempunyai tujuan lain untuk memeluk Islam. Dia berharap Khalifah selaku pemerintah negara Islam akan memberi penghormatan kepadanya dengan diberikan jawatan kedudukan tinggi dalam kerajaan. Bagaimanapun Khalifah Uthman menolak dan berkata;

"Aku hanyalah pelayan umat, aku diangkat menjadi Khalifah bukan atas keinginan aku, tetapi kesepakatan umat Islam".

Khalifah Uthman berkata lagi,
"Tidakkah tuan tahu bahawa jawatan bukan satu kehormatan, tetapi satu amanah. Apakah tuan sanggup memikul amanah itu, sedangkan tuan baru memeluk Islam dan lebih daripada itu tidak layak sesuatu kedudukan diminta atau diminati kerana Allah yang memberi atau mencabut kedudukan seseorang".

Oleh itu Abdullah bin Saba' kecewa dan menyimpan dendam kepada Khalifah Uthman, umat Islam dan Agama Islam. Maka, antara dakyahnya ialah menabur fitnah dan menimbulkan keraguan kepada orang Islam. Beliau mengatakan bahawa pewaris Nabi dan Khalifah yang sah adalah Saidina Ali bin Abi Talib, bukannya Abu Bakar, Umar, Uthman atau sahabat-sahabat lain.

Dia menjelajah ke seluruh tempat untuk menyebar fitnah dan pengaruhnya tersebar luas ke Mesir, Kufah dan Basrah. Untuk menyakinkan orang ramai akan kata-katanya dan bukannya atas kepentingan diri sendiri, beliau mengguna dan menjaja nama Saidina Ali dan keluarga Rasulullah s.a.w (ahlul bait). Kononnya hujah-hujah beliau adalah datangnya dari mulut Saidina Ali dan Rasulullah sendiri.

Beliaulah juga orang yang terawal meletakkan Saidina Ali ke tahap yang lebih tinggi dari Rasullullah s.a.w. Beliau pernah berkata," Sesungguhnya yang menjadi Nabi pilihan Allah adalah Ali bin Abi Talib. Hanya kebetulan pada ketika itu malaikat Jibrail mengantuk sehingga wahyu Allah diberikan kepada Muhammad, iaitu orang yang tidak berhak".

Mendengar berita itu, Ali bin Abi Talib sangat marah, dan ketika beliau diangkat menjadi khalifah keempat mengganti Uthman, beliau memerintahkan Abdullah bin Saba' diusir dari Madinah. Tidak berhenti setakat itu, Abdullah bin Saba' tetap meneruskan untuk memporak peranda sesama kaum muslimin serta hubungan Saidina Ali dan para sahabat yang lain secara halus.

Hakikatnya Abdullah bin Saba' serta pengikut-pengikutnya bukanlah penyokong tulen atau syiah Saidina Ali tetapi berpura-pura menjadi pengikut kuat Saidina Ali dan Ahlul Bait. Beliau juga mempunyai ramai pengikut yang dikenali sebagai Sabaiyyah juga tergolong sebagai orang-orang munafik yang lagaknya seperti orang Islam yang taat dan menyelinap dalam tentera Ali. Golongan Sabaiyyah ini lah yang menjadi punca berlakunya Perang Jamal.


Bagi golongan sunni, Ibn Saba' atau Sabaiyyah adalah perintis kepada perpecahan umat Islam dan seterusnya mendorong kepada beberapa pecahan ummah termasuk kemunculan fahaman syiah. Beliau lah  sebagai tokoh berperanan utama yang menyelipkan pemikiran-pemikiran sesat dalam ajaran syiah.

Kitab-kitab Syiah seperti Syarh Nahjul Balaghah Li Ibn Abil Hadid ada menceritakan berkenaan Ibn Saba' walaupun terdapat golongan syiah yang menafikan kewujudan seseorang yang bernama Ibn Saba' atau Abdullah bin Saba'.

Pemilihan Khalifah selepas Umar Al-Khattab

Pada tahun 644M, Khalifah Umar Al-Khattab mati dibunuh oleh seorang Majusi bernama Abu Lu'lu'ah al-Farisi. Pembunuhan ini berpunca dendam Abu Lu'Lu'ah kepada Umar yang tidak memihaknya dalam isu kharaj (seperti cukai) dengan majikannya. Di kala ini, Pembunuh Umar r.a. ini disanjung dan dipuja oleh penganut Syiah Imamiyyah. Mereka mengunjungi dan menghormati kuburnya di Kashan, Iran kerana telah berjaya membunuh Umar r.a. Malah beliau digelar Baba Syuja'uddin (Sang pembela agama yang gagah berani).

Abu Lu'lu'ah menikam Khalifah Umar sebanyak enam kali dengan pisau bermata dua sewaktu Umar mengimami solat subuh di Masjid al-Nabawi, Madinah. Tikaman di bahagian perut menyebabkan punca kematian Sayyidina Umar. Sebaik saja menikam Khalifah Umar, Abu Lu'luah cuba lari tetapi ditahan oleh para sahabat yang lain. Apabila ditahan menyebabkan dia terus menggunakan pisaunya untuk menikam mereka yang cuba menangkapnya. Ini menyebabkan berbelas orang sahabat gugur syahid dan cedera. Akhirnya Abdullah bin 'Auf az-Zuhri berjaya memegang bajunya dan terus menariknya sehingga dia rebah di atas lantai. Melihat dirinya telah terkepung, maka dia terus membunuh dirinya sendiri dengan menggunakan pisau ditangannya.

Berbeza ketika Khalifah Abu Bakar meninggal dunia, beliau hanya menamakan Umar sebagai penggantinya yang layak sebagai khalifah. Tetapi Umar Al-Khattab telah menamakan 6 orang pengganti. Antaranya Abu Ubaidah Al Jarrah, Ali bin Abi Talib, Abdul Rahman bin Auf dan Usman bin Affan. Sebenarnya pilihan pertama Umar adalah Abu Ubaidah Al-Jarrah tetapi beliau telah meninggal dunia di Syam akibat wabak taun.

Ketika Umar merasakan dirinya tidak mampu bertahan lama, beliau mengusulkan (penggantinya), " Aku tidak akan membuatnya maka sesungguhnya orang yang lebih mulia daripadaku telah meninggalkan urusan ini(pemilihan) kepada muslimin maka Rasulullah S.A.W sendiri meninggalkan urusan ini. Sekiranya aku membuat pemilihan maka aku akan memilih orang yang lebih baik daripadaku iaitu Saidina Abu Bakar. Jika Abu Ubaidah bin Jarrah masih hidup, nescaya aku akan melantiknya. Jika Salim Abu Huzaifah masih hidup nescaya aku akan melantiknya".

Kemudian beliau memanggil Abdul Rahman bin 'Auf lalu berkata:"Aku mahu memberi sumpah setia kepadamu". Mendengar kata-kata Saidina Umar itu lalu Abdullah bin 'Auf bertanya:" Adakah engkau telah bermesyuarat dalam perkara ini? Jawab beliau:"Demi Allah aku belum lagi berbuat demikian". Kata Abdul Rahman bin 'Auf:"Demi Allah aku tidak masuk campur dalam masalah ini selama-lamanya". Perintah beliau:" Carilah kata putus sehingga aku boleh melantik daripada kalangan mereka yang telah dipilih oleh Rasulullah S.A.W yang mana baginda redha dengan mereka". Abdul Rahman bin 'Auf terus memanggil Saidina Ali, Saidina Uthman, Zubair bin al-Awwam dan Sa'ad bin al-Waqas. Dia berkata :" Tunggulah kehadiran saudaramu Talhah yang mana dia sekarang berada di luar Madinah dan jika tidak maka laksanakan urusan kamu".

Dua hari selepas peristiwa serangan itu, iaitu pada subuh hari pertama bulan Muharram tahun 22 hijrah Khalifah Umar menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam usia 63 tahun iaitu sama dengan umur Rasulullah S.A.W dan Sayyidina Abu Bakar ketika wafat. Suhaib ar-Rumi telah mengimamkan solat jenazah. Beliau dikebumikan dalam bilik Sayyidatina 'Aisyah selepas mendapat keizinannya, iaitu disebelah makam  Rasulullah S.A.W dan Sayyidina Abu Bakar.

Pada hari itu juga para ahli majlis Syura telah bermesyuarat. Daripada keenam-enam sahabat, kesemuanya menolak dan hanya tinggal Ali, Abdul Rahman dan Uthman sahaja.

Abdul Rahman bin Auf juga menarik diri tetapi beliau menawarkan diri untuk menjadi orang tengah. Beliau akan membuat bancian di kalangan penduduk Madinah sama ada mahu Ali bin Abi Talib ataupun Uthman bin Affan sebagai khalifah. Setelah membuat bancian beliau telah berjumpa dengan keduanya dan mereka redha dengan apa juga keputusan Abdul Rahman.


Lalu Abdul Rahman mengangkat tangan Uthman dan menyatakan orang Madinah lebih ramai memilih beliau. Perkara ini menjadi titik tolak perpecahan umat Islam ketika itu kerana pihak yang menyokong Ali mendakwa Abdul Rahman tidak berlaku adil kerana beliau mempunyai hubungan persaudaraan sepupu dengan Uthman. Bagaimanapun Ali menyakini amanah yang dilakukan oleh Abdur Rahman dan membaiat Uthman sebagai khalifah Islam.

Pembunuhan Khalifah Uthman

Khalifah Uthman merupakan seorang pemimpin yang lemah lembut, zuhud dan sangat sabar. Beliau memegang jawatan khalifah ketika umurnya hampir 80 tahun. Kerajaan Islam dalam keadaan aman semasa 6 tahun awal pemerintahannya, sehinggalah berlakunya fitnah yang dicetuskan oleh Abdullah Ibn Saba’ (Ibn Saba) yang amat memusuhi Khalifah Uthman.

Ibn Saba memfitnah Uthman menyalah guna kuasa dengan memberi kekayaan kepada keluarga dan saudara maranya, merampas tanah orang miskin, gabenor2 Uthman yang zalim dan sebagainya. Walaupun Uthman telah menghantar surat menjelaskan perkara sebenar kepada jajahan pemerintahan Islam tetapi tidak berjaya meredakan fitnah tersebut. 

Mereka yang terpengaruh dengan fitnah Ibn Saba termasuk dari Kufah, Basra dan Mesir telah berjumpa dengan Uthman supaya meletak jawatan. Mereka inilah digelar sebagai kumpulan Sabaiyyah oleh sejarawan Islam. Para sahabat di Madinah ketika itu mencadangkan supaya Uthman menahan kumpulan ini tetapi Uthman berlembut dan memaafkan mereka.

Golongan Sabaiyyah makin berani membuat surat palsu dari Saidina Ali (kepada penduduk Mesir), Zubir Awwam (kepada penduduk Kufah) dan Abi Talhah (kepada penduduk Basra) untuk memujuk mereka menyerang Madinah. Mereka menggunakan nama ketiga-tiga mereka ini kerana mereka sahabat nabi yg dijamin syurga dan dihormati. Penduduk Syam tidak dipengaruhi oleh pemberontak ini kerana penduduk di situ tidak akan mempercayai surat tersebut memandangkan Gabenor Syam, Muawiyah adalah saudara kepada Uthman.

Akhirnya golongan Sabaiyyah berjaya mempengaruhi ramai orang Islam untuk mengepung rumah Uthman di Madinah ketika musim haji. Mereka memilih musim haji kerana ramai sahabat nabi akan pergi menunaikan haji ke Mekah. Terdapat beberapa sahabat yang cuba menolong Uthman termasuk Abu Hurairah, Hisam iaitu wakil yang dihantar oleh Saidina Ali dan beberapa orang lain. Tetapi Uthman menyuruh mereka pulang dan tidak memerlukan perlindungan.

Sebenarnya Uthman sudah merasakan beliau akan dibunuh pada hari pengepungan tersebut. Beliau juga bermimpi bertemu Rasulullah dan berbuka dengan baginda pada malam itu. Beliau memakai seluar kerana khuatir auratnya akan terlihat jika beliau dibunuh nanti.

Pada 656 masihi, ketika tu Uthman telah berusia 90 tahun. Pemberontak menyerbu masuk ke rumahnya ketika beliau sedang berpuasa dan membaca masyhaf Al-Quran. Pemberontak tersebut menghentak kepala Uthman dengan besi hingga darahnya terkena masyhaf Al-Quran tersebut. Masyhaf tersebut masih boleh dilihat pada masa ini. Pemberontak kemudiannya memotong jari tangan isteri Uthman, Nailah.

Maka terjadilah fitnah terbesar dalam dunia Islam ketika itu iaitu pembunuhan seorang khalifah Islam yang menyebabkan perpecahan yang lebih besar dari sebelum itu. Selama 5 hari selepas itu umat Islam tidak ada pemimpin, sedangkan pemberontak masih berada di dalam Madinah iaitu kira-kira 2000-3000 orang.


Ahli Syura dan penduduk Madinah mendesak Saidina Ali supaya menjadi pengganti khalifah walaupun pada awalnya Saidina Ali menolak cadangan tersebut. Perkara pertama yang beliau ingin lakukan ialah mencari pembunuh Uthman dan menghapuskan golongan Sabaiyyah yang menghasut para sahabat dan orang Islam. Tetapi beliau tidak bertindak dengan segera dan perlu lebih berhati-hati kerana pemberontak-pemberontak masih ramai di Madinah dan orang Islam masih berpecah belah yang memihak kepada Uthman dan sebahagian lagi mereka yang termakan hasutan golongan Sabaiyyah. Walaupun begitu, kedua-dua pihak di Madinah ini tidak memusuhi dan memerangi Khalifah Ali, melainkan penduduk luar Madinah yang tidak berpuas hati dengan kelewatan Khalifah Ali untuk bertindak menangkap pembunuh Uthman.

Pergolakan pemerintahan Khalifah Ali

Selepas kematian Uthman, lebih ramai pemberontak masuk ke dalam kota Madinah hingga jumlahnya mencecah 5,000-6,000 orang. Pemberontak tersebut juga merupakan dari kalangan orang-orang Islam terutamanya dari Kufah, Basra dan Mesir yang berjaya diperdaya oleh golongan Sabaiyyah. 

Kota Madinah kian tidak tenteram dengan ketiadaan pemimpin dan ini mendedahkan umat Islam kepada bahaya, maka segeralah para sahabat ridwanullahi ‘alaihim mencari calon yang paling layak. 3 nama untuk menggantikan Uthman iaitu Ali bin Abi Talib, Abi Talhah dan Zubair bin Awwam, namun mereka menolaknya. Menurut Muhammad al-Hanafiah (Muhammad bin ‘Ali bin Abi Talib r.a), ayahnya pernah berkata kepada orang ramai, “Janganlah kamu memilih aku, sesungguhnya aku lebih baik menjadi Wazir (pembantu Khalifah) berbanding menjadi Amir (Khalifah)”.

Menurut riwayat lain, daripada Abu Basyir al-’Abidi “Selepas terbunuhnya Uthman r.a, berhimpunlah golongan Muhajirun dan Ansar termasuk Talhah dan Al-Zubair berjumpa dengan Ali r.a untuk di bai’at sebagai khalifah, Namun Ali berkata: “Aku tidak berhajat akan urusan kamu, aku bersama kamu, sesiapa sahaja yang kamu pilih, aku akan meredhainya, maka pilihlah (selain aku) demi Allah”. Lalu mereka (para sahabat) berkata: “Kami tidak akan memilih selain kamu”. Kata Abu Basyir lagi “Mereka datang kepada Ali berkali-kali sehingga yang kali terakhirnya mereka berkata kepadanya: “Sesungguhnya tidak boleh bagi manusia tanpa adanya pemimpin sedangkan telah berlanjutan masa (tanpa pemimpin)”. Lalu kata Ali kepada mereka: “Sesungguhnya kamu telah berulang kali datang kepada aku dan kamu enggan (memilih selain aku) dan sesungguhnya aku hendak berkata suatu perkara jika kamu menerimanya, maka aku menerima permintaan kamu, jika tidak maka aku tidak berhajat akannya (tidak berhajat menjadi Khalifah)”. Mereka berkata: “Apa sahaja yang kamu katakan, akan kami akan terima Insya-Allah”.

Akhirnya Ali ketika itu berumur 58 tahun, menerima jawatan tersebut dan orang pertama yang membai’at beliau adalah Talhah dengan lisan, diikuti dengan Sa’ad (ibn Abi Waqqas r.a) dengan tangannya. Turut membai’at beliau, ialah Al-Zubair bin al-’Awwam r.a. Namun sesetengah riwayat mengatakan Talhah dan Az-Zubair membai'at dalam keadaan paksa-rela oleh situasi yang ditimbulkan oleh pemberontak. Pemberontak juga pernah mengugut bunuh Ibn Umar sekiranya (Ibn Umar) tidak bersetuju menjadi khalifah. Malah Ali juga sendiri tidak mahu dilantik sebagai khalifah sekiranya tiada bai'at dari para sahabat. Oleh itu, pemberontak mendesak para sahabat supaya Ali dilantik sebagai khalifah. Jika tidak kota Madinah berubah menjadi lebih parah.

Untuk mengelak masalah yang lebih besar sebelum para pemberontak itu bertindak di luar jangkauan melantik orang yang menjadi boneka mereka sebagai khalifah dan menyebabkan urusan pemilihan khalifah terkeluar dari tangan sahabat ridwanullahi ‘alaihim dan jatuh ke tangan pemberontak, maka Talhah dan Az-Zubair bergegas membai’at Ali r.a. Talhah dan Az-Zubair mengakui Ali adalah orang yang paling layak dilantik sebagai khalifah tetapi bukan dalam keadaan situasi yang mendesak itu.

Perlantikan Saidina Ali sebagai Khalifah menyebabkan ramai dikalangan penduduk Mekah, Mesir dan beberapa kawasan jajahan Islam lain mempersoalkan perlantikan tersebut. Ini adalah kerana mereka pernah mendapat surat daripada Saidina Ali, kononnya meminta penduduk disitu menyerang kota Madinah sewaktu pemerintahan Khalifah Uthman. Sedangkan mereka tidak menyedari bahawa surat itu adalah palsu yang diedarkan oleh golongan Sabaiyyah yang dipimpin oleh Abdulah bin Saba'.

Dengan kenaikan Ali sebagai khalifah seolah-olah mengesahkan surat itu benar-benar ditulis oleh Ali sendiri. Ini juga merupakan satu perancangan licik golongan Sabaiyyah memecahkan perpaduan umat Islam. Malah Khalifah Ali sendiri tidak tahu siapa penulis sebenar surat tersebut. Hakikatnya Khalifah Ali juga tidak menyedari ada dalang sebenar (Sabaiyyah) kerana mereka juga hidup seperti orang Islam (munafik). Khalifah Ali berpendapat bahawa pemberontakan yang berlaku terhadap Khalifah Uthman adalah berpunca daripada gabenor-gabenor di tanah jajahan tidak disenangi rakyat atau gagal mententeramkan rakyatnya daripada memberontak terhadap pemerintahan Uthman. Oleh itu beliau telah menggantikan semua gabenor-gabenor yang dilantik oleh Uthman termasuk Muawiyah di Syam. Di Basrah, Abdullah bin Amir digantikan dengan Uthman bin Hanif, Saad bin al-as menggantikan Amran bin Syahab di Kufah dan di Syam, Muawiyah digantikan dengan Syahab bin Hanif. 

Khalifah Ali juga berpendapat tindakan ini juga dapat meredakan kemarahan orang yang tidak suka kepada gabenor pemerintahan Uthman sebelum ini. Tetapi hal ini semakin menimbulkan prasangka di kalangan sahabat yang lain. Malah seorang sahabat iaitu Al-Mughirah menasihati Ali supaya jangan memecat gabenor Uthman ketika itu. Uthman tidak pernah terus memecat gabenor yang dilantik oleh Umar sebelumnya. Ia akan menimbulkan fitnah. Tetapi Ali bertegas meneruskan hasratnya.

Pada mulanya Khalifah Ali memang berazam mencari pembunuh Uthman yang sebenar, namun pergolakan umat Islam ketika itu menyebabkan Khalifah Ali lebih menumpukan untuk perkukuhkan dahulu negara Islam dan menenangkan umat Islam. Malah tiada seorang saksi pun yang berani tampil melihat pembunuhan Uthman. Khalifah Ali tidak mampu menghukum semua pemberontak kerana jumlahnya yang ramai, mereka terdiri kaum muslimin dan tidak semua terlibat dalam pembunuhan Uthman.


Sebelum Perang Jamal tercetus, Khalifah Ali pernah berkata “Bagaimana aku hendak bertindak dengan kaum yang kita tidak kuasai? Tiada cara hendak cari pembunuh Uthman kerana mereka ramai dan tiada saksi ketika pembunuhan di rumah Uthman. Siapa yang tahu cara untuk mencari pembunuh Uthman sila bagitau aku! “. Sahabat semua diam termasuk termasuk Zubair dan Talhah. Dan akhirnya mereka taat kepada Khalifah Ali. Namun akibat fitnah dan perancangan licik golongan pemberontak dan Sabaiyyah, berlakulah peperangan Jamal.


Khalifah Ali kemudiannya telah mengubah ibukota Islam dari Madinah Ke Kufah atas alasan Madinah tidak selamat untuk diduduki lagi untuk mentadbir negara Islam. Beliau wafat selepas sembahyang Subuh di Masjid Kufah pada 17 Ramadan 41 Hijrah / 661 Masihi kerana dibunuh oleh seorang puak Khawarij, Abdul Rahman bin Muljam. Puak Khawarij merupakan bekas pengikut Khalifah Ali yang tidak berpuashati perjanjian damai dengan Muawiyah sewaktu Perang Siffin. Khawarij berpakat untuk membunuh Ali r.a, Mu’awiyah r.a, Amr bin Ash r.a  dan Abu Musa al-Asy’ari r.a. Bagaimanapun rancangan pembunuhan itu hanya berjaya ke atas Khalifah Ali.

Jenazah Khalifah Ali kemudiannya dikebumikan di Dar al-Imarah (Kufah). Namun bagi golongan syiah beranggapan beliau dikebumikan di Mashhad al-Najf.

Perang Jamal

Pengenalan

Perang Jamal atau Perang Unta berlaku pada 11 Jamadilakhir 36H atau Disember 657M yang mengambil masa tidak sampai sehari. Peperangan ini berpunca daripada salah faham di antara pihak Khalifah Ali dan pihak Saiditina Aishah yang menyebabkan 10-13 ribu tentera terkorban termasuk dua sahabat besar Rasulullah s.a.w, Talhah & Zubair al Awwam. Salah faham ini ditimbulkan oleh pihak munafik pimpinan Abdullah bin Saba’ (Sabaiyyah) yang membuat huru-hara selepas perbincangan perdamaian tercapai di anatara kedua-dua pihak. Peperangan ini merupakan perang saudara pertama kaum muslimin yang berakhir dengan kemenangan dipihak Khalifah Ali. Peperangan ini dinamakan peperangan Jamal (unta) kerana Aisyah menunggang unta ketika berperang.

Rombongan Aisyah, Talhah dan Az-Zubair

Ketika pemberontakan ke atas Khalifah Uthman tercetus, Saiditina Aisyah pada masa itu berumur 40 tahun berada di Mekah menunaikan haji. Aisyah telah mengumpul orang Islam dan penduduk di Mekah untuk membantu Uthman menghadapi pemberontakan di Madinah. Ketika dalam perjalanan menuju ke Madinah, diberitakan Uthman telah dibunuh. Ketika itu para sahabat mempunyai beberapa cadangan kepada Aisyah, sama ada meneruskan perjalanan ke Madinah atau, menuju ke Syam untuk meminta bantuan Muawiyah, namun akhirnya mereka memilih jalan menuju ke Basrah.

Mereka berasakan Kota Madinah dalam keadaaan tidak tenteram setelah jatuh ke tangan pemberontak yang masih ramai disitu. Sekiranya tetap meneruskan perjalanan ke Madinah, Aisyah dan rombongannya akan berada pada situasi yang membahayakan kerana mereka adalah dari kalangan orang yang menyokong Uthman.  Mereka menuju ke Basrah untuk merancang strategi dan mengumpul kekuatan menangani pemberontak yang memecah belah umat Islam, dan berazam memulih kembali perpaduan umat Islam. Walaupun Ali kemudiannya telah dilantik sebagai Khalifah, mereka tidak berpuas hati kerana Ali dilihat gagal menghukum pembunuh Uthman, seolah-olah Ali dalam keadaan terikat dan tertekan dikelilingi golongan pemberontak.

Selepas Talhah dan Zubair membai'ah Saidina Ali sebagai Khalifah, mereka meminta izin untuk melakukan umrah. Ketika dalam perjalanan, mereka bertemu dengan Aisyah, di dalam pertemuan itu mereka bersepakat untuk meminta Khalifah Ali mempercepatkan qisas (hukuman) keatas pembunuh Uthman.

Apabila melihat Aisyah dan pasukannya pergi ke Basrah, golongan munafik Sabaiyyah menyalakan api fitnah dengan menyebar berita kononnya pemergian Aisyah tersebut adalah mengumpul kekuatan dan menuju ke Madinah untuk memberontak kekhalifahan Ali.

Semangat Perdamaian

Apabila Ali mendengar khabar angin itu, beliau mengutuskan al-Qa’ qa’ untuk berjumpa Aisyah, Talhah dan Zubair di Basrah.
Menurut Ibn Kathir menulis: “Sesungguhnya Ali telah mengutuskan al-Qa`qa` sebagai utusan menemui Talhah dan Zubair untuk mengajak mereka kepada kesatuan dan jamaah dan menyatakan kepada mereka berdua betapa bahayanya perpecahan dan perselisihan. Lalu al-Qa`qa` menuju ke Basrah dan orang yang pertama ditemuinya ialah Aishah." 
Beliau berkata: “Wahai Ummu Mukminin, apakah yang mendorong ibu menjejakkan kaki di bumi ini?”.
Aishah menjawab: “Wahai anakku, untuk mendamaikan antara manusia.”
Kemudian al-Qa`qa` meminta supaya Aishah memanggil Talhah dan al-Zubair, lalu mereka berdua pun datang.
Al-Qa`qa` berkata kepada mereka “Saya telah bertanya kepada Ummu Mukminin sebab mengapa beliau menjejakkan kaki ke sini dan beliau menjawab untuk mendamaikan antara manusia.” 
Lalu mereka berdua menyatakan: “Kami pun dengan tujuan yang sama.” Talhah dan al-Zubair juga mengatakan bahawa mereka datang hanya untuk mendamaikan antara manusia.
Mereka juga menjawab: “Kamu memang benar dan melakukan yang terbaik. Oleh itu, pulanglah, jika Ali datang dan dia berpandangan seperti kamu, keadaan akan menjadi baik.”

Lalu al-Qa`qa` pulang menemui Ali dan mencerita apa yang berlaku dan Ali amat gembira. 
Aishah telah menulis surat kepada kepada Ali menyatakan beliau datang untuk tujuan perdamaian. Kemudian Ali menulis kepada Talhah dan al-Zubair: “Jika pendirian kamu berdua masih kekal seperti ketika al-Qa`qa` meninggalkan kamu berdua, maka tunggulah sehingga kami datang dan membincangkan perkara ini. Lalu mereka berdua menjawab: “Sesungguhnya kami masih lagi berpendirian seperti ketika al-Qa`qa` meninggalkan kami iaitu untuk berdamai.
Khalifah Ali menghebah berita perdamaian ini kepada kaum muslimin, namun terdapat golongan yang membenci situasi perdamaian ini terutamanya dari golongan Sabaiyyah. 

Pertemuan Ali dan Aisyah

Khalifah Ali bersama tentera-tenteranya (sebagai langkah berjaga-jaga) menuju ke Basrah untuk tujuan perdamaian dengan Saiditina Aisyah. Malangnya kebanyakan tentera yang mengikut Ali adalah dikalangan pemberontak (dari golongan munafik Sabaiyyah) yang menyelinap di dalam tentera muslimin. Ramai sahabat tidak mahu serta dalam rombongan tersebut. Abu Musa dan anaknya, Hassan bin Ali telah menasihati Ali supaya jangan keluar kerana tindakan itu lebih membawa keburukan. Tetapi ijtihad Ali adalah untuk membawa keamanan.

Apabila kedua-dua pasukan saling berhadapan, Khalifah Ali berjumpa dengan Thalhah dan Zubair. Beliau mengimbas kembali akan saat manis ketika bersama Rasulullah s.a.w dan berperang melawan orang musyrikin. Aisyah, Zubair dan Talhah meminta Ali mencari pembunuh Uthman. Tetapi Ali dengan tegas menjelaskan dalam keadaan sekarang, permintaan itu adalah mustahil tanpa sokongan dan perpaduan umat Islam khususnya dari kalangan para sahabat. Malah bilangan pemberontak yang juga dari kalangan umat Islam sangat ramai di Madinah dan amat sukar mengenapasti siapakah pembunuh Uthman yang sebenar. Aisyah menyedari kesilapan mereka tidak berbai'ah kepada Ali dan memberitahu kepada rombongannya, mereka tersilap dalam hal ini dan mereka akan bersatu bersama Khalifah Ali untuk menguatkan kembali perpaduan umat Islam dan mencari pembunuh Uthman yang sebenar.

Menurut al-Imam Ibn Hazm rahimahullah (456H): “Dan adapun (pemergian) Ummul Mukminin (Aisyah), al-Zubair dan Thalhah radhiallahu 'anhum berserta orang-orang yang bersama mereka (ke Basrah), tidaklah mereka sedikit jua bertujuan membatalkan kekhalifahan Ali, mereka tidak mencabar jawatan tersebut, mereka tidak menyebut apa-apa kecacatan yang merendahkan beliau daripada jawatan tersebut, mereka tidak bertujuan mengangkat khalifah baru yang lain dan mereka tidak memperbaharui bai‘ah kepada sesiapa yang lain. Ini adalah sesuatu yang tidak dapat diingkari oleh sesiapa jua dengan apa cara jua.”

Golongan Sabaiyyah berasa terancam dengan perdamaian tersebut. Pada malamnya, mereka merancang untuk melagakan kedua-dua pihak Ali dan Saiditina Aisyah. Jika umat Islam bersatu, pasti akan memudahkan tindakan diambil ke atas para pembunuh Uthman. Sekiranya umat Islam kekal berpecah, selagi itulah para pembunuh Uthman akan terselamat daripada apa-apa tindakan. Jika mereka tidak bertindak cepat, lambat laun tembelang mereka akan pecah, dan mereka pasti di qisaskan atau di hukum. Dianggarkan jumlah mereka menyelinap dalam tentera Ali ketika itu dikatakan mencecah 1,000-2,000 orang. 

Mereka segera mengatur rancangan dan membuat keputusan bahawa satu kumpulan dari mereka akan berada di pihak Aishah manakala satu lagi kumpulan kekal di dalam pasukan Ali. Mereka akan bertindak secara senyap untuk mencetuskan kekacauan dengan saling menyerang di antara satu sama lain menyebabkan berlaku kekeliruan kepada kedua-dua belah pihak.

Berlakunya Perang

Sebelum subuh, golongan Sabaiyah menyerang pasukan Aisyah secara mengejut. Dalam suasana terperanjat daripada tidur, pasukan Aisyah menyangka bahawa tentera Ali telah berlaku khianat dan menyerang mereka. Golongan Sabaiyyah disebelah pasukan Aisyah berteriak bahawa tentera Ali telah menyerang curi dan menipu mereka. Sebagai tindakan mempertahankan diri sendiri, mereka menyerang balas ke atas tentera Ali.

Golongan Sabaiyyah disebelah pasukan Ali pula berteriak bahawa rombongan Aisyah telah menyerang. Lalu Pasukan Ali menyangka pasukan Aisyah telah berlaku khianat dan menyerang mereka. Dengan itu mereka menyerang balas untuk mempertahankan diri. Tidak sesiapapun di kalangan mereka yang menyedari perkara sebenar yang terjadi. Disitulah bermulalah Perang Jamal sekali pun kedua-dua pihak pada asalnya tidak berniat untuk berperang. 

Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H) meringkaskan detik-detik ini dalam satu perenggan: “Mereka (para pembunuh Uthman) menyerang khemah Thalhah dan al-Zubair. Lalu Thalhah dan al-Zubair menyangka bahawa Ali telah menyerang mereka, maka mereka menyerang kembali untuk mempertahankan diri. Seterusnya Ali pula menyangka bahawa mereka (Thalhah dan al-Zubair) menyerangnya, maka Ali menyerang kembali untuk mempertahankan diri. Maka berlakulah fitnah (peperangan) tanpa ia menjadi pilihan mereka (kedua-dua pihak). Manakala Aisyah radhiallahu 'anha hanya berada di atas pelana untanya, beliau tidak menyerang dan tidak memerintahkan serangan. Demikianlah yang diterangkan oleh tidak seorang daripada para ilmuan dalam bidang sejarah (Ahl al-Ma’rifat bi al-Akhbar).” [Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah fi Naqd Kalam al-Syi ‘ah wa al-Qadariyyah (diteliti oleh M. Rasyad Salim; Muassasah Qurtubiyyah, 1986), jld. 4, ms. 317]

Al-Hafiz Ibn Katsir rahimahullah (774H) memperincikan detik-detik tercetusnya Perang Jamal: “Orang-orangpun merasa tenang lagi lega …… pada waktu malamnya kedua-dua pihak bermalam dalam keadaan yang sebaik-baiknya. Akan tetapi para pembunuh Uthman melalui malam tersebut dalam keadaan yang seburuk-buruknya. Mereka berbincang dan bersepakat untuk mengobarkan peperangan pada awal pagi esoknya. Mereka bangun sebelum terbit fajar, jumlah mereka menghampiri seribu orang. Masing-masing kelompok bergabung dengan pasukannya lalu menyerang mereka (pasukan Aisyah) dengan pedang." 

Tentera Ali berjaya menguasai peperangan tersebut kerana pada masa itu, pasukan Aishah tidak mempunyai kelengkapan yang mencukupi. Ini adalah kerana tujuan kedatangan mereka adalah bukan untuk berperang tetapi untuk mencari jalan perdamaian.

Dalam peperangan ini, Aisyah tidak melibatkan diri dalam medan pertempuran tetapi unta yang dinaiki Aisyah telah terbunuh tertusuk tombak. Lalu Aisyah terjatuh dari unta tersebut. 

Pembunuhan Talhah dan Az-Zubair

Sewaktu pertempuran berlaku, Khalifah Ali sempat bertemu Zubair dan Talhah, katanya; 
“Wahai Zubair, aku minta kau jawab kerana Allah!” 
“Tidakkah engkau ingat, sewaktu Rasulullah menghampiri kita yang sedang berkumpul bersama, lalu beliau (Rasulullah) bersabda;
“Wahai Zubair, tidakkah engkau mengasihi Ali.” 

Kemudian engkau menjawab “Kenapa pula aku tidak mengasihi saudara sepupuku, anak kepada ibu dan bapa saudaraku, serta se akidah denganku…” 
Rasulullah bersabda lagi “Hai Zubair demi Allah, bila engkau memeranginya (Ali), jelas engkau telah berlaku zalim kepadanya…” 

Sewaktu itu Zubair tersedar akan kesilapannya “Ya, sekarang aku ingat, hampir aku terlupa (sabda Rasulullah), demi Allah aku tidak akan memerangimu."
Talhah dan Zubair menarik diri dari perang saudara itu. Mereka mengundur diri setelah tahu kedudukan sebenar peperangan itu, tambahan pula apabila mereka terlihat Ammar bin Yasir berperang di pihak Ali. Mereka teringat sabda Rasulullah kepada Ammar “Yang akan membunuhmu ialah golongan yang derhaka…”

Bagaimanapun, Zubair diekori oleh Amru bin Jurmuz, lalu dibunuh sewaktu Zubair sedang solat, manakala Talhah dipanah/lembing oleh rakan sepasukan iaitu, Marwan bin Hakam, setelah mendapati Talhah mengundur diri dari berperang. Ketika itu Talhah berusia 63 tahun.

Ketika Ali nampak jasad Talhah yang terkorban, beliau turun dari kuda mengangkat mayat Talhah dan menangis sambil berkata “Semoga Allah merahmatimu Aba Muhammad, sesungguhnya aku berasa amat sedih melihat engkau dibunuh di bawah bintang di langit. Kalaulah aku mati dahulu tentu aku tak melihat peristiwa ini “.

Manakala Zubair menuju ke Wadi Suba’, tetapi di bunuh oleh Amir bin Jurmuz ketika solat. Si pembunuh juga membawa pedang Zubair bin Awwam yang dibunuh dengan gembira dan menyatakan mereka berjaya membunuh Zubair. Lalu Ali berteriak si pembunuh itu akan dibalas dengan api neraka. Ini adalah kerana Ali mendengar Rasulullah berkata dalam hadisnya yang menyatakan, berikan neraka kepada pembunuh Zubair. Zubair ini adalah penolong nabi. Rasulullah pernah berkata “Setiap nabi mempunyai seorang penolong, Zubair ini adalah penolongku “. Ali telah menyembahyangkan semua mayat dari kedua-dua tentera.

Ketika Ali menatap pedang Zubair beliau berkata “Demi Allah pedang ini sudah banyak berjasa, digunakan oleh pemiliknya (Zubair) untuk melindungi Rasulullah dari ancaman bahaya…”

Kesan Peperangan

Peperangan ini membawa kepada kesedihan dan penyesalan di antara kedua-dua pihak. Mereka menyedari ditipu oleh golongan yang tidak menyokong perdamaian (golongan Sabaiyyah).

Saidina Hassan Bin Ali r.a pernah berkata kepada ayahnya,“ Wahai Ayah, telah aku nasihati mu, supaya engkau jangan menghantar tentera keluar.”


Aisyah juga dihantar pulang ke Madinah dengan dikawal oleh sepasukan wanita bersenjata lengkap.  Khalifah Ali berpesan kepada tenteranya supaya tidak menjadikan peperangan ini seperti peperangan lain (dengan tentera musyrikin) kerana perang ini berlaku sesama kaum muslimin. Harta peperangan pihak Aishah tidak boleh dijadikan sebagai ghanimah. Mereka yang lari tidak boleh dikejar dan yang terbunuh hendaklah disemadikan sebagai seorang Islam. Akibat daripada peperangan itu, penentangan terhadap Khalifah Ali semakin memuncak terutamanya dari Muawiyah bin Abu Sufiyan. Muawiyah berpendapat Ali sepatutnya mencari dan menghukum pembunuh Uthman apabila mula memerintah. Walaupun telah dipecat oleh Ali sebagai gabenor tetapi seluruh negara Syam masih lagi taat kepada Muawiyah. Beliau tidak akan berbai’ah kepada Ali sehingga pembunuh Uthman dibunuh. Inilah yang menyebabkan berlakunya peperangan Siffin.