Monday, 17 October 2016

Pembunuhan Khalifah Uthman

Khalifah Uthman merupakan seorang pemimpin yang lemah lembut, zuhud dan sangat sabar. Beliau memegang jawatan khalifah ketika umurnya hampir 80 tahun. Kerajaan Islam dalam keadaan aman semasa 6 tahun awal pemerintahannya, sehinggalah berlakunya fitnah yang dicetuskan oleh Abdullah Ibn Saba’ (Ibn Saba) yang amat memusuhi Khalifah Uthman.

Ibn Saba memfitnah Uthman menyalah guna kuasa dengan memberi kekayaan kepada keluarga dan saudara maranya, merampas tanah orang miskin, gabenor2 Uthman yang zalim dan sebagainya. Walaupun Uthman telah menghantar surat menjelaskan perkara sebenar kepada jajahan pemerintahan Islam tetapi tidak berjaya meredakan fitnah tersebut. 

Mereka yang terpengaruh dengan fitnah Ibn Saba termasuk dari Kufah, Basra dan Mesir telah berjumpa dengan Uthman supaya meletak jawatan. Mereka inilah digelar sebagai kumpulan Sabaiyyah oleh sejarawan Islam. Para sahabat di Madinah ketika itu mencadangkan supaya Uthman menahan kumpulan ini tetapi Uthman berlembut dan memaafkan mereka.

Golongan Sabaiyyah makin berani membuat surat palsu dari Saidina Ali (kepada penduduk Mesir), Zubir Awwam (kepada penduduk Kufah) dan Abi Talhah (kepada penduduk Basra) untuk memujuk mereka menyerang Madinah. Mereka menggunakan nama ketiga-tiga mereka ini kerana mereka sahabat nabi yg dijamin syurga dan dihormati. Penduduk Syam tidak dipengaruhi oleh pemberontak ini kerana penduduk di situ tidak akan mempercayai surat tersebut memandangkan Gabenor Syam, Muawiyah adalah saudara kepada Uthman.

Akhirnya golongan Sabaiyyah berjaya mempengaruhi ramai orang Islam untuk mengepung rumah Uthman di Madinah ketika musim haji. Mereka memilih musim haji kerana ramai sahabat nabi akan pergi menunaikan haji ke Mekah. Terdapat beberapa sahabat yang cuba menolong Uthman termasuk Abu Hurairah, Hisam iaitu wakil yang dihantar oleh Saidina Ali dan beberapa orang lain. Tetapi Uthman menyuruh mereka pulang dan tidak memerlukan perlindungan.

Sebenarnya Uthman sudah merasakan beliau akan dibunuh pada hari pengepungan tersebut. Beliau juga bermimpi bertemu Rasulullah dan berbuka dengan baginda pada malam itu. Beliau memakai seluar kerana khuatir auratnya akan terlihat jika beliau dibunuh nanti.

Pada 656 masihi, ketika tu Uthman telah berusia 90 tahun. Pemberontak menyerbu masuk ke rumahnya ketika beliau sedang berpuasa dan membaca masyhaf Al-Quran. Pemberontak tersebut menghentak kepala Uthman dengan besi hingga darahnya terkena masyhaf Al-Quran tersebut. Masyhaf tersebut masih boleh dilihat pada masa ini. Pemberontak kemudiannya memotong jari tangan isteri Uthman, Nailah.

Maka terjadilah fitnah terbesar dalam dunia Islam ketika itu iaitu pembunuhan seorang khalifah Islam yang menyebabkan perpecahan yang lebih besar dari sebelum itu. Selama 5 hari selepas itu umat Islam tidak ada pemimpin, sedangkan pemberontak masih berada di dalam Madinah iaitu kira-kira 2000-3000 orang.


Ahli Syura dan penduduk Madinah mendesak Saidina Ali supaya menjadi pengganti khalifah walaupun pada awalnya Saidina Ali menolak cadangan tersebut. Perkara pertama yang beliau ingin lakukan ialah mencari pembunuh Uthman dan menghapuskan golongan Sabaiyyah yang menghasut para sahabat dan orang Islam. Tetapi beliau tidak bertindak dengan segera dan perlu lebih berhati-hati kerana pemberontak-pemberontak masih ramai di Madinah dan orang Islam masih berpecah belah yang memihak kepada Uthman dan sebahagian lagi mereka yang termakan hasutan golongan Sabaiyyah. Walaupun begitu, kedua-dua pihak di Madinah ini tidak memusuhi dan memerangi Khalifah Ali, melainkan penduduk luar Madinah yang tidak berpuas hati dengan kelewatan Khalifah Ali untuk bertindak menangkap pembunuh Uthman.

No comments:

Post a Comment