Monday, 17 October 2016

Pergolakan pemerintahan Khalifah Ali

Selepas kematian Uthman, lebih ramai pemberontak masuk ke dalam kota Madinah hingga jumlahnya mencecah 5,000-6,000 orang. Pemberontak tersebut juga merupakan dari kalangan orang-orang Islam terutamanya dari Kufah, Basra dan Mesir yang berjaya diperdaya oleh golongan Sabaiyyah. 

Kota Madinah kian tidak tenteram dengan ketiadaan pemimpin dan ini mendedahkan umat Islam kepada bahaya, maka segeralah para sahabat ridwanullahi ‘alaihim mencari calon yang paling layak. 3 nama untuk menggantikan Uthman iaitu Ali bin Abi Talib, Abi Talhah dan Zubair bin Awwam, namun mereka menolaknya. Menurut Muhammad al-Hanafiah (Muhammad bin ‘Ali bin Abi Talib r.a), ayahnya pernah berkata kepada orang ramai, “Janganlah kamu memilih aku, sesungguhnya aku lebih baik menjadi Wazir (pembantu Khalifah) berbanding menjadi Amir (Khalifah)”.

Menurut riwayat lain, daripada Abu Basyir al-’Abidi “Selepas terbunuhnya Uthman r.a, berhimpunlah golongan Muhajirun dan Ansar termasuk Talhah dan Al-Zubair berjumpa dengan Ali r.a untuk di bai’at sebagai khalifah, Namun Ali berkata: “Aku tidak berhajat akan urusan kamu, aku bersama kamu, sesiapa sahaja yang kamu pilih, aku akan meredhainya, maka pilihlah (selain aku) demi Allah”. Lalu mereka (para sahabat) berkata: “Kami tidak akan memilih selain kamu”. Kata Abu Basyir lagi “Mereka datang kepada Ali berkali-kali sehingga yang kali terakhirnya mereka berkata kepadanya: “Sesungguhnya tidak boleh bagi manusia tanpa adanya pemimpin sedangkan telah berlanjutan masa (tanpa pemimpin)”. Lalu kata Ali kepada mereka: “Sesungguhnya kamu telah berulang kali datang kepada aku dan kamu enggan (memilih selain aku) dan sesungguhnya aku hendak berkata suatu perkara jika kamu menerimanya, maka aku menerima permintaan kamu, jika tidak maka aku tidak berhajat akannya (tidak berhajat menjadi Khalifah)”. Mereka berkata: “Apa sahaja yang kamu katakan, akan kami akan terima Insya-Allah”.

Akhirnya Ali ketika itu berumur 58 tahun, menerima jawatan tersebut dan orang pertama yang membai’at beliau adalah Talhah dengan lisan, diikuti dengan Sa’ad (ibn Abi Waqqas r.a) dengan tangannya. Turut membai’at beliau, ialah Al-Zubair bin al-’Awwam r.a. Namun sesetengah riwayat mengatakan Talhah dan Az-Zubair membai'at dalam keadaan paksa-rela oleh situasi yang ditimbulkan oleh pemberontak. Pemberontak juga pernah mengugut bunuh Ibn Umar sekiranya (Ibn Umar) tidak bersetuju menjadi khalifah. Malah Ali juga sendiri tidak mahu dilantik sebagai khalifah sekiranya tiada bai'at dari para sahabat. Oleh itu, pemberontak mendesak para sahabat supaya Ali dilantik sebagai khalifah. Jika tidak kota Madinah berubah menjadi lebih parah.

Untuk mengelak masalah yang lebih besar sebelum para pemberontak itu bertindak di luar jangkauan melantik orang yang menjadi boneka mereka sebagai khalifah dan menyebabkan urusan pemilihan khalifah terkeluar dari tangan sahabat ridwanullahi ‘alaihim dan jatuh ke tangan pemberontak, maka Talhah dan Az-Zubair bergegas membai’at Ali r.a. Talhah dan Az-Zubair mengakui Ali adalah orang yang paling layak dilantik sebagai khalifah tetapi bukan dalam keadaan situasi yang mendesak itu.

Perlantikan Saidina Ali sebagai Khalifah menyebabkan ramai dikalangan penduduk Mekah, Mesir dan beberapa kawasan jajahan Islam lain mempersoalkan perlantikan tersebut. Ini adalah kerana mereka pernah mendapat surat daripada Saidina Ali, kononnya meminta penduduk disitu menyerang kota Madinah sewaktu pemerintahan Khalifah Uthman. Sedangkan mereka tidak menyedari bahawa surat itu adalah palsu yang diedarkan oleh golongan Sabaiyyah yang dipimpin oleh Abdulah bin Saba'.

Dengan kenaikan Ali sebagai khalifah seolah-olah mengesahkan surat itu benar-benar ditulis oleh Ali sendiri. Ini juga merupakan satu perancangan licik golongan Sabaiyyah memecahkan perpaduan umat Islam. Malah Khalifah Ali sendiri tidak tahu siapa penulis sebenar surat tersebut. Hakikatnya Khalifah Ali juga tidak menyedari ada dalang sebenar (Sabaiyyah) kerana mereka juga hidup seperti orang Islam (munafik). Khalifah Ali berpendapat bahawa pemberontakan yang berlaku terhadap Khalifah Uthman adalah berpunca daripada gabenor-gabenor di tanah jajahan tidak disenangi rakyat atau gagal mententeramkan rakyatnya daripada memberontak terhadap pemerintahan Uthman. Oleh itu beliau telah menggantikan semua gabenor-gabenor yang dilantik oleh Uthman termasuk Muawiyah di Syam. Di Basrah, Abdullah bin Amir digantikan dengan Uthman bin Hanif, Saad bin al-as menggantikan Amran bin Syahab di Kufah dan di Syam, Muawiyah digantikan dengan Syahab bin Hanif. 

Khalifah Ali juga berpendapat tindakan ini juga dapat meredakan kemarahan orang yang tidak suka kepada gabenor pemerintahan Uthman sebelum ini. Tetapi hal ini semakin menimbulkan prasangka di kalangan sahabat yang lain. Malah seorang sahabat iaitu Al-Mughirah menasihati Ali supaya jangan memecat gabenor Uthman ketika itu. Uthman tidak pernah terus memecat gabenor yang dilantik oleh Umar sebelumnya. Ia akan menimbulkan fitnah. Tetapi Ali bertegas meneruskan hasratnya.

Pada mulanya Khalifah Ali memang berazam mencari pembunuh Uthman yang sebenar, namun pergolakan umat Islam ketika itu menyebabkan Khalifah Ali lebih menumpukan untuk perkukuhkan dahulu negara Islam dan menenangkan umat Islam. Malah tiada seorang saksi pun yang berani tampil melihat pembunuhan Uthman. Khalifah Ali tidak mampu menghukum semua pemberontak kerana jumlahnya yang ramai, mereka terdiri kaum muslimin dan tidak semua terlibat dalam pembunuhan Uthman.


Sebelum Perang Jamal tercetus, Khalifah Ali pernah berkata “Bagaimana aku hendak bertindak dengan kaum yang kita tidak kuasai? Tiada cara hendak cari pembunuh Uthman kerana mereka ramai dan tiada saksi ketika pembunuhan di rumah Uthman. Siapa yang tahu cara untuk mencari pembunuh Uthman sila bagitau aku! “. Sahabat semua diam termasuk termasuk Zubair dan Talhah. Dan akhirnya mereka taat kepada Khalifah Ali. Namun akibat fitnah dan perancangan licik golongan pemberontak dan Sabaiyyah, berlakulah peperangan Jamal.


Khalifah Ali kemudiannya telah mengubah ibukota Islam dari Madinah Ke Kufah atas alasan Madinah tidak selamat untuk diduduki lagi untuk mentadbir negara Islam. Beliau wafat selepas sembahyang Subuh di Masjid Kufah pada 17 Ramadan 41 Hijrah / 661 Masihi kerana dibunuh oleh seorang puak Khawarij, Abdul Rahman bin Muljam. Puak Khawarij merupakan bekas pengikut Khalifah Ali yang tidak berpuashati perjanjian damai dengan Muawiyah sewaktu Perang Siffin. Khawarij berpakat untuk membunuh Ali r.a, Mu’awiyah r.a, Amr bin Ash r.a  dan Abu Musa al-Asy’ari r.a. Bagaimanapun rancangan pembunuhan itu hanya berjaya ke atas Khalifah Ali.

Jenazah Khalifah Ali kemudiannya dikebumikan di Dar al-Imarah (Kufah). Namun bagi golongan syiah beranggapan beliau dikebumikan di Mashhad al-Najf.

No comments:

Post a Comment