Sebelum Pertempuran
Situasi pembunuhan
Uthman dan kekhalifahan Ali telah dimanipulasi oleh Abdullah bin Saba’ serta
pengikut-pengikutnya (Sabaiyyah). Mereka menyebarkan fitnah di kalangan
penduduk Syam yang mengatakan bahawa Saidina Ali Bin Abi Thalib bersubahat di
dalam peristiwa pembunuhan Saidina Uthman. Oleh kerana itu, dia
berlengah-lengah dalam mengambil tindakan terhadap pembunuh Saidina Uthman.
Di Madinah pula,
mereka menimbul cerita mengatakan bahawa Muawiyah dan penduduk Syam tidak mahu membai
‘ah dan mengakui Saidina Ali sebagai Khalifah. Apabila keadaan semakin tegang,
tampil dua sahabat Rasulullah s.a.w untuk meredakan keadaan. Sahabat tersebut
ialah Abu Umamah al-Bahili dan Abu Dharda r.a. Mereka berdua pergi ke Syam
untuk bertemu dengan Muawiyah.
Setibanya mereka di
hadapan Muawiyah, mereka pun berkata, “Wahai Muawiyah... Mengapakah kamu tidak
mahu bai ‘ah dan mengakui Saidina Ali sebagai Khalifah yang ke-empat? Lupakah
kamu tentang siapakah Saidina Ali itu? Bukankah kamu tahu bahawa Ali Bin Abi
Thalib merupakan orang yang terawal memeluk Islam, lebih awal dari kamu dan dan
lebih awal dari bapak kamu memeluk Islam. Adakah kamu lupa bahawa Saidina Ali itu
merupakan sepupu dan juga menantu kepada Nabi SAW?”
“Wahai Muawiyah...
jangan kamu lupa siapa sebenarnya Saidina Ali, dan dengan segala keistimewaan
yang ada pada dia, sesungguhnya dia layak untuk menjadi Khalifah. Maka kenapa
kamu tidak mahu bai ‘ah kepadanya?”
Mendengarkan
pertanyaan dari sahabatnya itu, lalu Muawiyah menjawab: “Janganlah kamu salah
faham. Sesungguhnya, aku bukan tidak mengakui Saidina Ali sebagai Khalifah.
Sememangnya dia layak menjadi khalifah dan sememangnya aku tidak layak. Tetapi,
aku tidak puas hati kerana dia tidak mengambil tindakan terhadap pembunuh
Saidina Uthman. Aku tidak berpuas hati pembunuh Uthman dibiarkan bebas. Aku
berijtihad bahawa hukuman Qisas mesti dijatuhkan kerana orang ini telah
membunuh Uthman. Aku mahukan ini bukan kerana Uthman sepupu aku, tetapi Uthman
itu seorang yang baik dan dia tidak patut dibunuh”.
Namun jawapan itu
tidak mampu menenangkan keadaan kerana situasi tidak boleh dikawal lagi.
Walaupun Muawiyah telah dipecat oleh Ali sebagai gabenor Syam tetapi rakyatnya
masih lagi taat setia kepada Muawiyah. Beliau tidak akan berbai’ah kepada Ali
sehingga pembunuh Uthman dibunuh. Jika tidak, Muawiyah sendiri yang akan
mengambil tindakan.
Mendengar jawapan yang
sedemikian, Ali menyiapkan pasukannya seramai 150,000 tentera (disertai juga
penduduk Kufah & Basrah) dan mula bergerak dari Kufah kearah Syam. Senario
ini menyebabkan Muawiyah juga mempersiapkan pasukannya seramai 130,000 orang.
Menurut Syaikh Muhib
Al-Din Al-Khatib rahimahullah (1389H) menjelaskan:
“…lalu Ali berangkat
meninggalkan Kufah dan menuju di permulaan jalan yang menuju ke arah Syam dari
Iraq. Ali mengisyaratkan supaya orang ramai tetap tinggal di Kufah dan
mengirimkan yang selainnya ke Syam. Sampai berada kepada Muawiyah bahawa Ali
telah mempersiapkan pasukannya dan Ali sendiri keluar untuk memerangi beliau.
Maka para pembesar Syam mengisyaratkan kepada Muawiyah agar dia sendiri turut
keluar (untuk berhadapan dengan pasukan Ali). Maka orang-orang Syam berangkat
menuju ke Sungai Furat melalui Siffin dan Ali maju bersama pasukannya menuju
Siffin juga.
…Seandainya Ali tidak
mempersiapkan pasukan yang bergerak dari Kufah nescaya Muawiyah tidak akan
bergerak (dari Syam).” [catitan notakaki kepada Al-‘Awashim min Al-Qawashiam,
ms. 166 & 168]
Tercetusnya Perang Siffin
Akhirnya kedua-dua
angkatan perang ini bertemu di satu lembah yang bernama Lembah Siffin. Khalifah
Ali membuat tuntutan terakhir kepada tentera Muawiyah supaya menyerah dan
mengiktiraf beliau sebagai khalifah tetapi Muawiyah menolak dengan meminta
pembunuh Uthman dihukum terlebih dahulu sebelum membai’ah Ali.
Akibatnya pada 8 Safar
36H (26 Julai 657), Khalifah Ali mengarahkan serangan dan bermulalah Perang
Siffin. Peperangan ini bermula pada hari Rabu, Safar 37H (Mei-Julai 657) dan
berakhir pada malam sabtu. Seramai 70 ribu tentera terkorban dari kedua belah
pihak. Antara sahabat yang gugur di dalam perang ini ialah Ammar Bin Yasir ra
dan Hashim ibn Utba ra.
Ketika pertempuran
berlaku, Tentera Ali di unit pasukan Basrah diketuai oleh al-Ashtar berjaya
membuatkan Muawiyah berundur dari medan pertempuran. Apabila pertempuran
berterusan kepada hari ketiga, Muawiyah berasakan tentera mereka akan kalah.
Amru Al-As akhirnya
mencadangkan agar digunakan al-Quran untuk melakukan perundingan. Muawiyah
menerima cadangan ini dan mengarahkan orang-orangnya meletakkan 500 buah Quran
di hujung tombak dan menjerit, "Undang-undang Tuhan! Ini akan memutuskan
di antara kita!" Dengan ini ia bermaksud kedua-dua pihak hendaklah
berhenti bertempur dan menyelesaikan pertelingkahan dengan perundingan aman di
bawah tatatertib Islam.
Tindakan ini
menyebabkan tentera Ali serba salah dan berhenti bertempur . Khalifah Ali
bagaimanapun menyeru tenteranya terus berjuang dengan mengatakan Muawiyah
melakukan helah ketika hampir kalah tetapi tentera Ali serba salah dan
ragu-ragu untuk meneruskan pertempuran.
Ali dan al-Ashtar
memberi arahan kepada tenteranya tetapi tidak dapat mengubah fikiran mereka
semua. Mereka menuduh al-Ashtar menjadi penghasut yang suka peperangan, malah
mengugut akan berpihak kepada Muawiyah. Dengan keadaan tersebut Ali tidak
mempunyai pilihan lain selain daripada menamatkan pertempuran dan menerima
perundingan dengan pasukan Muawiyah. Beberapa bulan kemudian, Ali menghantar
ketua utusannya Abu Musa al-Asy’ari untuk berunding dengan utusan Muawiyah,
Amru bin al-As yang dinamakan Peristiwa Tahkim.
Peristiwa Tahkim
Terdapat 2 versi
penceritaan berkenaan Peristiwa Tahkim ini. Menurut versi yang popular dan
menjadi pegangan Syiah ialah dari kitab Tarikh al-Tabari r.h yang diriwayatkan
oleh Abu Mikhnaf Lut bin Yahya al-Kufi sebagai berikut:
“Kedua-dua utusan
bersetuju untuk memecat Ali r.a dan Muawiyah r.a dan menyerahkan perlantikan
Khalifah yang baru kepada kaum muslimin. Abu Musa mengisytiharkan pemecatan Ali
dan mengembalikan hak perlantikan Khalifah kepada kaum muslimin. Kemudian Amru
bangun mengisytiharkan Muawiyah r.a sebagai Khalifah. Keadaan ini menimbulkan
huru hara dan Abu Musa al-Asy’ari r.a telah melaknat Amru bin al-As r.a dengan
memanggil beliau sebagai pengkhianat dan anjing. Kemudian kedua-dua pihak
kembali kepada ketua masing-masing, Ahli Kufah kepada Ali r.a kecuali Abu Musa
yang melarikan diri kerana malu dan Ahli Syam kembali kepada Muawiyah” [Tarikh
al-Tabari, juz 5, Bab Berita Perhimpunan Keduanya (Ali dan Muawiyah)].
Abu Mikhnaf Lut bin
Yahya al-Kufi adalah periwayat yang banyak meriwayatkan kisah-kisah sejarah dan
menjadi rujukan fakta bagi golongan Syiah. Abu Mikhnaf adalah seorang yang
tidak dipercayai pada riwayatnya oleh golongan sunni (ASWJ). Menurut pandangan
ASWJ menyatakan Imam al-Bukhari ada membicarakan Peristiwa Tahkim didalam kitab
Tarikh Kabir [5/398] dan Ibn Asakir dalam kitab Tarikh Damsyiq [46/175],
al-Daruqatni sebagaimana yang dinyatakan Abu Bakar Ibn al-Arabi r.h dalam
al-Awasim [m.s 143-144] sebagai berikut:
“Setelah Muawiyah r.a
memecat Amru bin al-As r.a daripada jawatan gabenor Mesir (ketika
itu Muawiyah r.a telah menjadi Khalifah), Amru bin al-As r.a telah membina
fustat (khemah tempat tinggal) beliau berdekatan dengan fustat Muawiyah r.a dan
selalu duduk di khemahnya itu, lalu Muawiyah r.a telah mengutusku kepadanya dan
berkata: ‘Pergilah kamu kepadanya dan beritahu kepadanya telah sampai kepadaku
sesuatu yang aku tidak suka berkenaannya, tanya kepadanya berkenaan peristiwa
ketika dia berkumpul dengan Abu Musa al-Asy’ari (semasa Peristiwa Tahkim)
bagaimana mereka lakukan?’ Maka aku pergi kepadanya dan berkata: ‘Ceritakanlah
kepadaku bagaimana sebenarnya yang berlaku pada hari kamu berjumpa dengan Abu
Musa al-Asy’ari?’. Kata beliau: ‘Manusia telah bercerita dengan pelbagai cerita
tetapi apa yang mereka ceritakan itu bukanlah yang sebenarnya demi Allah,
tetapi apabila aku telah bertemu dengan Abu Musa aku berkata kepada beliau:
Apakah pendapat kamu berkenaan perkara ini? Kata Abu Musa: Aku lihat perkara
ini (pertlingkahan) berlaku antara kaum yang telah diredhai Rasulullah s.a.w
ketika baginda wafat. Kataku: Bagaimana pendapat kamu mengenai aku dan
Muawiyah? Kata Abu Musa: Jika dia (Ali r.a) meminta bantuan kamu berdua maka
kamu berdua perlu menolongnya namun jika dia tidak meminta bantuan kamu maka
demikianlah urusan Allah pada kamu berdua”.
Kesan Peristiwa Tahkim
Peristiwa Tahkim ini
berakhir dengan tiada keputusan muktamad dan tidak sah kerana tidak
ditandatangani oleh Khalifah Ali. Saidina Ali r.a terus kekal sebagai Khalifah
dan Saidina Muawiyah r.a terus kekal sebagai Gabenor Syam.
Perundingan dalam
Peristiwa Tahkim ini dibuat beberapa bulan selepas perang dan jika perundingan
dibuat serta merta, Ali mungkin akan meneruskan kembali pertempuran.
Sementara itu pengikut
Ali berpecah. Sekumpulan tentera berjumlah 12,000 orang berpecah daripada
tentera utama yang tidak bersetuju hasil perbincangan ini. Tentera ini akhirnya
menjadi teras kepada golongan Khawarij. Khawarij berpakat untuk
membunuh Ali r.a, Mu’awiyah r.a, Amr al-As r.a dan Abu Musa al-Asy’ari
r.a. Bagaimanapun rancangan mereka hanya berjaya membunuh Khalifah Ali.
Akhir sekali, Syaikh
al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah telah menegaskan:
“Dan Muawiyah bukanlah
daripada kalangan mereka yang memilih untuk memulakan perang, bahkan beliau
daripada kalangan yang paling menghendaki agar tidak berlaku perang ….. yang
benar adalah (dengan) tidak (sepatutnya) berlakunya peperangan. Meninggalkan
peperangan adalah lebih baik bagi kedua-dua pihak. Tidaklah dalam peperangan
tersebut (Perang Siffin, wujud satu) pihak yang benar. Akan tetapi Ali lebih
mendekati kebenaran berbanding Muawiyah. Peperangan adalah peperangan kerana
fitnah, tidak ada yang wajib dan tidak ada yang sunat dan meninggalkan perang
adalah lebih baik bagi kedua-dua pihak. Hanya sahaja Ali adalah lebih benar.
Dan ini merupakan pendapat (al-Imam) Ahmad dan kebanyakan ahli hadis dan
kebanyakan para imam fiqh dan ini juga merupakan pendapat para tokoh sahabat
dan tabi’in yang selalu mendapat kebaikan.” [Minhaj al-Sunnah, jld. 4, ms.
447-448]
Meleset dan kurang tepat.
ReplyDeletePalatao
DeleteSyiah golongan khawarij
ReplyDelete