Monday, 17 October 2016

Perlantikan Khalifah Muawiyah

Semasa Saidina Ali memegang tampuk pemerintahan, beliau tidak pernah mewasiatkan sesiapa untuk menjadi calon penggantinya. Menurut Al-Imam al-Baihaqi rahimahullah (458H) meriwayatkan bahawa orang ramai meminta Ali melantik bakal pengganti beliau. Lalu Ali menjawab:

“Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak melantik seorang pengganti (maka aku tidak akan menyelisihi sunnah sedemikian). Akan tetapi jika Allah mengkehendaki kebaikan kepada manusia, Allah akan mengumpul mereka sesudah aku di atas kebaikan mereka (sendiri) sebagaimana Allah telah mengumpul mereka (para sahabat) sesudah Nabi mereka shallallahu 'alaihi wasallam di atas kebaikan mereka (sendiri).” [al-Sunan al-Kubra (diteliti oleh Muhammad ‘Abd al-Qadir ‘Atha’; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1999), riwayat no: 16573]

Pengikutnya juga pernah meminta kepada beliau agar mengangkat Saidina Hasan ra sebagai Khalifah ketika menghampiri saat kematiannya. Beliau tetap menegaskan;

"Saya tidak memerintahkan kalian dan saya juga tidak melarang kalian, saya tinggalkan kalian sebagaimana Rasulullah meninggalkan kalian." (H.R. Ahmad)

Selepas kemangkatan Khalifah Ali, masyarakat Islam telah bermuswarah mengangkat Hasan sebagai khalifah untuk menggantikan ayahnya. Orang pertama yang mencadangkan beliau ialah Qays ibn Sa’d ibn Ubadah. Qays juga mencadangkan kepada Hasan untuk menghantar bala tentera bagi memerangi Syam (Muawiyah). Hasan menghantar ribuan tentera ke Syam dan bertembung dengan tentera Muawiyah yang sedang menunggu di al-Madain. Seterusnya, berlakulah pertempuran yang dikuasai sepenuhnya oleh tentera Muawiyah. 

Penduduk/Tentera Kufah sendiri tidak bersatu padu menyokong sepenuhnya kepada Hasan. Terdapat sebilangan yang mengkhianati, belot dan meragui Hasan sebagai pemimpin. Apabila Hasan melihat keadaan masyarakat Islam telah berpecah belah, lalu beliau menulis sepucuk surat kepada Muawiyah yang telah kembali ke Syam untuk mengadakan perdamaian antara dua pihak. Hasan lebih mengingini kemaslahatan dan perpaduan umat Islam. Pada saat itu umat Islam juga masih berselisih kerana para pembunuh Uthman r.a yang masih belum dikesan. Hasan ingin menutup perselisihan ini dengan perdamaian tersebut yang menjadi asas kepada penyerahan jawatan khalifah kepada Muawiyah. 

Muawiyah menerima cadangan tersebut lalu menghantar Abdullah ibn Amir dan Abd. Rahman ibn Samurrah kepada Hasan di Kufah. Dalam perbincangan tersebut, Hasan menyampaikan hasratnya untuk menyerahkan jawatan khalifah. Muawiyah juga diminta tidak melantik pengganti jawatan khalifah seterusnya. Urusan perlantikan khalifah hendaklah diserahkan kepada ahli syura. Muawiyah juga hendaklah mengekalkan keamanan dengan tidak memerangi penyokong-penyokong Ali dan Hasan sendiri, selain itu hendaklah menjaga kebajikan ahlul bait. Muawiyah juga tidak dibenarkan menghukum orang yang tidak disukainya sebelum itu, membalas dendam atau sebagainya. 

Perdamaian ini mengingatkan ramai para sahabat dan Muawiyah sendiri akan sabda Rasulullah s.a.w; “Sesungguhnya cucuku ini adalah Sayyid, semoga Allah mendamaikan dengannya dua kumpulan umat Islam yang sedang berselisih.” [Shahih al-Bukhari – hadis no: 3629]

Tahun perdamaian ini dikenali A’mul Jamaah kerana kaum muslimin bersatu dibawah satu pemimpin. Penyerahan kuasa ini berlaku di Kufah pada hari Khamis bulan Rabiul Awwal 41H. Sesetengah pendapat mengatakan pada awal bulan Jamadil Awwal. Hasan dan diikuti oleh Muawiyah telah menyampaikan pengistiharan itu dihadapan penduduk Kufah dan para muslimin selepas proses bai’ah selesai dijalankan. Begitulah akhirnya kekhalifahan Hasan melepaskan jawatannya yang disandang selama 6 bulan sahaja.

Salah seorang penduduk Kufah, Abu Amir Said ibn al-Natl menemui Hasan lalu berkata “Sejahtera ke atasmu wahai penghina kaum muslimin!” Hasan menjawab “Janganlah berkata begitu wahai Amir. Aku bukan berniat menjadi penghina kaum muslimin akan tetapi yang sebenarnya aku enggan (tidak suka) memerangi mereka lantaran berebutkan kekuasaan”. 

Kemudiannya, Hasan dan seluruh keluarganya termasuk Husain pun meninggalkan Kufah dan menuju ke Madinah al-Munawwarah. Disepanjang perjalanannya, pelbagai rungutan dan kemarahan dilemparkan oleh penyokongnya kerana Hasan melepaskan jawatan khalifah kepada Muawiyah. 

Hampir sepuluh tahun Hasan ra. tinggal di Madinah, dan waktunya banyak dihabiskan untuk beribadah dan mengajar agama, malah menuntut ilmu dari kalangan sahabat yang masih ada.


Pada 28 Safar 50H, Saidina Hasan meninggal dunia dalam usia 47 tahun dan dimakamkan dipemakaman umum Baqi’. Menurut versi syiah, beliau wafat kerana diracun oleh isterinya sendiri yang diarahkan oleh Muawiyah.

No comments:

Post a Comment