Sunday, 16 October 2016

Serangan Haji & Hajar Aswad


Hamdan Qarmath telah menghantar pengikut setianya Abu Sa`id al-Jannabi ke Bahrain pada 281H/894M sebagai pemimpin dan pengasas ajaran Qaramithah. Pada 301H/914M, Abu Sa'id telah dibunuh. Beliau memimpin Bahrain selama 15 tahun. Beliau telah digantikan oleh anaknya, Abul Kassim. Namun bertahan selama 3 tahun sahaja apabila beliau dibunuh oleh adik beliau sendiri, iaitu Abu Tahir dalam satu pemberontakan pada 304/916.

Pelbagai rentetan peristiwa besar yang membabitkan golongan Qaramithah, diantaranya ialah;

294H (Muharram) – Mereka yang dipimpin oleh Zakrawaih bersama tenteranya telah membunuh rombongan haji ketika dalam perjalanan pulang dari Mekah. Kira-kira 20,000 jemaah haji dikatakan terkorban dan banyak harta jemaah haji dirampas. Manakala golongan wanita mereka juga berperanan dengan mengumpan menawarkan air ditengah-tengah kumpulan mangsa yang terkorban. Sekiranya masih ada mangsa yang menyahut (masih hidup), mangsa tersebut akan dibunuh.

312 H (Muharram) – Qaramithah di Bahrain dibawah pimpinan Abu Thahir, iaitu anak lelaki kepada Abu Sa’id al-Jannabi telah menyerang, merompak dan membunuh jemaah haji yang pulang dari Mekah ke Baghdad.

317 H (12 Januari 930M)– Abu Thahir bersama 700 para pengikutnya berpura-pura menunaikan haji ke Mekah, tetapi sebaliknya mereka menyerang, merompak dan membunuh jemaah haji.

Dengan bangganya, Abu Thahir melaung didepan Ka’bah “Aku adalah Allah, demi Allah, aku menciptakan seluruh makhluk dan yang mematikan mereka.”

"Mana Burung Ababil? Mana batu dari neraka Sijjil?" kata-katanya yang mengejek akan peristiwa azab Abrahah.

Mereka menanggalkan pintu kaabah serta kelambunya dikoyak-koyakkan, manakala perigi zam-zam dirosakkan dan dipenuhi  dengan jemaah haji yang terkorban. Selain itu mereka juga mencungkil batu Hajar Aswad.

Selepas 6 hari di Mekah, mereka pulang bersama dengan batu Hajar Aswad yang dicuri oleh mereka ke Hajr (Ahsa), Bahrain. Dalam perjalanan pulang, Gabernor Mekah bersama tenteranya mengekori dan cuba memujuk Abu Thahir untuk mengembalikan Hajar Aswad tetapi akhirnya gabenor dan pasukannya turut dibunuh.

Hajar Aswad ini berasal dari batu syurga yang berbentuk satu bongkahan. Namun tindakan mencungkil dari kedudukan asalnya menyebabkan terjadinya pecahan kepada lapan bungkahan kecil.

Hajar Aswad berada di tangan mereka selama 22 tahun. Sewaktu Qaramitah dipimpin oleh Sanbur bin Hasan, mereka memulangkan semula Hajar Aswad ke Mekah pada Zulkaedah tahun 339 H.

No comments:

Post a Comment