Sunday 16 October 2016

Syiah Imamiyah: Sejarah Kewujudan 12 Imam Syiah

12 Imam: ilustrasi imaginasi pengikut syiah

Kumpulan yang paling masyhur dari kalangan pecahan syiah ialah Syiah Imam Dua Belas (al-Ithna ‘Asyariyyah) ataupun dikenali sebagai Imamiyah/Jaafariah. di Iran yang merangkumi 90% penduduk di Iran dan sebahagian besar penduduk Iraq. Pergerakan Hizbollah di Lubnan juga adalah dari golongan Syiah Imam Duabelas. Dan inilah kelompok syiah yang paling besar pada masa kini iaitu menyumbang kira-kira 80% orang syiah di dunia.

Daripada salasilah keturunan Saidina Ali, golongan syiah ini meletakkan mereka sebagai 12 imam yang tertibnya terdiri daripada;
1. Ali bin Abi Talib
2. Al-Hasan bin Ali
3. Al-Husain bin Ali
4. Ali Zainal Abidin bin al-Husain
5. Muhammad al-Baqir bin Zainal Abidin
6. Jaafar as-Sadiq bin Muhammad al-Baqir
7. Musa al-Kazim
8. Ali ar-Ridha
9. Muhammad al-Jawad
10. Ali al-Hadi
11. Al-Hasan al- ‘Askariy
12.Muhammad al-Mahdi

Ali Zainal Abidin, Muhammad al-Baqir

Salah seorangnya ialah anak Saidina Husain iaitu, Ali Zainal Abidin bin Husain bin Ali r.a, (658M – 713M), namun tidak dilihat sebagai musuh kepada pemimpin Umayyah. Tidak ada satu riwayat pun yang mengatakan beliau mempunyai kepercayaan atau ideologi yang berbeza dengan para sahabat. Beliau merupakan ulamak yang zuhud, dan anak-anak beliau, Muhammad al-Baqir (676M – 743M) dan Zaid merupakan sangat tinggi kewarakan dan ketaqwaan mereka. Segi akidah dan fekah mereka berdua juga sama sepenuhnya dengan ulamak sunnah dari kalangan sahabat dan tabi’in.
Kalau pun ada perbezaan hanyalah pendapat Zaid yang melihat Ali bin Talib lebih utama menjadi khalifah daripada Abu Bakar as-Siddiq. Zaid mengiktiraf kelebihan tiga khalifah terdahulu, tetapi dia berpendapat Ali lebih afdhal. Dia juga berpendapat "harus" melantik khalifah di kalangan mereka yang kurang afdhal. Dengan itu beliau tidak menafikan kekhalifahan Abu Bakar, Umar dan Usman. Terdapat beberapa pengikutnya bertanyakan pendapatnya mengenai Abu Bakar dan Umar. Maka Zaid mendoakan agar Allah mencucuri rahmat ke atas mereka berdua. Terdapat pengikutnya tidak bersetuju dan lalu mereka memisahkan diri dari menjadi pengikut Zaid. Golongan ini dikenali sebagai ar-rafidhah (orang yang menolak) kerana mereka menolak kepimpinan Abu Bakar dan Umar dan menolak pendapat Zaid tentang kepimpinan kedua-dua tokoh besar itu. Dan dari golongan inilah yang menjadi pelopor kepada Mazhab al-Ithna ‘Asyariyyah, iaitu yang dikenali mazhab Syiah yang terbesar, Imamiyah. Dari sinilah bermulanya sejarah kenapa pihak sunni menggelar Syiah al-Ithna ‘Asyariyyah sebagai puak ar-Rafidah.
Dalam pemerintahan Umayyah di zaman Hisyam bin Abdul Malik, Zaid meneruskan tradisi datuknya (Saidina Husain) dalam menentang khilafah bani Umayyah dan berakhir dengan beliau terkorban pada tahun 122 H. Selepas kematiannya, pengikut-pengikutnya mengasaskan satu mazhab yang terbina di atas fikrahnya dikenali sebagai Zaidiyyah. Mazhab ini, sekalipun tersenarai di dalam mazhab syiah tetapi ia selari dengan ahli sunnah dalam semua aspek kecuali dalam bab mengatakan Ali lebih utama daripada tiga khalifah ar-rasyidin sebelumnya. Boleh dikatakan hampir tiada perbezaan dalam kebanyakan perkara dengan ahli sunnah.

Jaafar as-Sadiq

Muhammad al-Baqir, meninggal dunia sebelum Zaid selama lapan tahun, iaitu pada tahun 114H telah meninggalkan seorang anak yang alim dan hebat, iaitu Jaafar as-Sadiq (703M – 765M). Dia merupakan salah seorang ulamak yang berpengaruh, seorang faqih yang sangat pintar. Semua pandangannya adalah selari dengan akidah sahabat, tabi’in dan seluruh ulamak sunni. Pengasas mazhab-mazhab Sunni, seperti Imam Abu Hanifah dan Imam Malik bin Anas, menurut beberapa sumber juga mengambil beberapa hadis dari Imam Ja'far ash-Shadiq.

Istilah Jaafariah digunakan adalah berasal daripada nama Jaafar ash-Sadiq, yang merupakan Imam keenam. Jaafariah selalu digunakan untuk menunjukkan mazhab al-Ithna ‘Asyariyyah ini, untuk membezakan dengan Syiah Ismailiyah dan Zaidiyah. 
Di akhir pemerintahan Bani Umayyah, gerakan Abbasiyyah bangun memberontak. Gerakan ini menjalin hubungan kerjasama dengan golongan ar-rafidhah. Akhirnya khalifah Bani Umayyah digulingkan pada tahun 132H dan terbangunlah khalifah Abbasiyyah yang dipimpin oleh Abi al-‘Abbas as-Saffah.
Golongan ar-rafidhah berasa kecewa kerana mereka mahukan kepimpinan dipegang oleh salah seorang dari kalangan cucu cicit Ali bin Abi Talib. Maka mereka bangkit semula untuk menggulingkan khilafah ‘Abbasiyyah dengan membentuk satu jamaah yang dikenali sebagai Talibiyyin (nisbah kepada Ali bin Abi Talib) sebagai saingan kepada puak yang dinisbahkan kepada al- ‘Abbas bin Abdul Muttalib. Sampai ke saat itu tidak terdapat sebarang perbezaan dari segi akidah dan fiqah kecuali dalam isu Abu Bakar dan Umar. Golongan ar-rafidah menolak kepimpinan Abu Bakar dan Umar, malah secara terang-terangan melaknat mereka berdua.

Musa al-Kazim

Tahun 148H Jaafar as-Sadiq meninggal dunia. Beliau meninggalkan seorang putera bernama Musa al-Kazim (745M – 799M). Ibunya bernama Hamidah Khatun. Dia lahir ketika berlakunya pergolakan antara Bani Umayyah dan Bani Abbasiyah. Beliau juga dikenali sebagai Abu al-Hasan. Musa al-Kazim juga merupakan seorang yang alim dan pernah juga dipenjarakan sewaktu pemrintahan Abbasiyah.

Ali bin Musa ar-Ridha

Musa al-Kazim meninggal dunia pada tahun 183H dengan meninggalkan beberapa orang anak. Antara mereka ialah Ali bin Musa ar-Ridha (765M – 818M). Pada masa zaman Khalifah al- Abbasiyah, al-Ma’mun, beliau mahu mententeramkan keadaan dengan melantik Ali bin Musa ar-Ridha sebagai putera mahkota. Perlantikan ini telah mengundang bantahan yang meluas di kalangan ‘Abbasiyyin (keluarga khalifah). Tetapi Ali ar-Ridha tiba-tiba mati secara mengejut. Golongan at-Talibiyyin menuduh al-Ma’mun telah membunuhnya. Maka sekali lagi timbul pemberontakan demi pemberontakan ke atas pemerintahan Abbasiyah.
Namun tidak ada satupun di antara sebab-sebab yang banyak itu yang menjadi punca kepada perbezaan akidah yang menjadi pegangan mazhab syiah sekarang. Sehingga saat itu, mereka belum lagi mengambil dan berpegang kepada mazhab mereka sendiri yang dipanggil Mazhab Syiah. Hanya yang wujud pada ketika itu adalah pergerakan politik yang bermatlamat untuk mendapatkan kuasa dan menentang pemerintah atas alasan kepimpinan hendaklah dari ahlul bait. Dan juga tidak melibatkan alasan-alasan tauhid seperti yang dipegang oleh Syiah sekarang.
Suara-suara yang mengajak memberontak pemerintahan Abbasiyyah telah tersebar begitu meluas di wilayah Parsi (Iran). Terdapat satu gerakan yang didokong oleh bukan islam yang dinamakan asy-Syu’ubiyyah telah bergabung dengan golongan at-Talibiyyin. Sebahagian penduduk parsi itu menzahirkan kecintaan yang berakar umbi kepada bangsa Parsi dengan segala elemen yang ada padanya termasuk api yang menjadi sembahan mereka.

Muhammad al-Jawad, Ali al-Hadi, Al-Hasan al- ‘Askariy, Muhammad al-Mahdi

Selepas kewafatan Ali ar-Ridha, muncul anaknya Muhammad al-Jawad (810M – 835M). Kemudian Muhammad al-Jawad meninggal dunia dibunuh pada tahun 220H. Muncul pula anaknya yang bernama Ali bin Muhammad al-Hadi (827M – 868M). Ali juga kemudiannya terbunuh pada tahun 254H. Muncul pula anaknya al-Hasan bin Ali (846M – 874M) yang mendapat gelaran al- ‘Askariy. Beliau mati secara mengejut pada tahun 260H. Beliau tidak mempunyai anak kecuali seorang yang masih kecil berusia lima tahun, bernama Muhammad yang lahir pada tahun 868M. Keadaan bertambah kusut apabila anak yang kecil ini juga meninggal dunia secara tiba-tiba. Keadaan ini menjadikan puak pemberontak berpecah kepada beberapa kelompok yang sangat banyak. Setiap kelompok adalah berbeza antara satu sama lain dari semua sudut: fikrah, syariah dan akidah.
Syiah al-Ithna ‘Asyariyyah mempercayai 12 imam ini merupakan pewaris-pewaris Nabi Muhammad SAW.  Imam-imam ini dikatakan maksum dan terpelihara dari kesalahan dan dosa.  Mereka juga yakin bahawa anak kecil (Imam ke-12), Muhammad bin al-Hasan al-‘Askariy sebenarnya tidak mati. Bahkan dia berada di tempat persembunyian di atas bukit. Dan dia masih hidup sampai sekarang (kini sudah lebih 1000 tahun). Dan suatu hari nanti dia akan kembali memerintah dunia yang dinamakan al-Mahdi al-Muntazar.
Bagaimanapun, dua belas pemimpin ini tidak mempunyai sebarang perbezaan pendapat berkenaan akidah dan feqah dengan golonan ahli sunnah. Malah ahli sunnah berkeyakinan bahawa imam-imam ini sebenarnya adalah dari kalangan sunni yang berpegang kepada doktrin dan prinsip ahli Sunnah.

3 comments:

  1. sungguh menarik perkongsian ini

    ReplyDelete
  2. Ar rofidah dikenali di zmn imam malik imam syafie n imam maliki ra.
    Jika golongan syiah masih ttp sama pegangan aqidah mereka dgn para salaf mengapa banyak pesanan telah diterima drpd imam malik n syafie dll ra sendiri spt latangan menerima perkhabaran hadis dari mereka. Larangan berkawan dgn mereka dll?
    Kami berpendapat golongan rofidah ni telah berbeza aqidah mereka dari majoriti umat selepas zmn ali zainal abidin imam ke4 syiah itu.
    Allahu A'lam

    ReplyDelete