Sunday, 16 October 2016

Ismailliyah Druze

Khalifah al-Hakim

Apabila Khalifah ke 5 Fathimiyyah, Abu Manshur Ranzar (Al-‘Azizu bi Alah) meninggal dunia, tampuk pemerintahan diserahkan kepada puteranya iaitu, Al-Hakim bi Alah sebagai amir (khalifah) yang ke 6. Ketika ditabalkan menjadi ketua negara, al-Hakim baru berusia 11 tahun.
Seorang pendakwah berbangsa Parsi, Hamza ibn Alī ibn Ahmad adalah pelopor utama mengagungkan al-Hakim. Pada 30 Mei 1017, al-Hakim mengisytiharkan Imam Hamza ibn 'Ali sebagai pemimpin dakwah mereka. Ketika itu, Hamza bin Ali berusia 33 tahun seusia dengan al-Hakim. Sejak masa itu, pegawai-pegawai kerajaan diminta menyembah al-Hakim sebagai jelmaan Tuhan, iaitu dikatakan Tuhan masuk kedalam jasad beliau.
Al-Hakim juga dikatakan memerintah secara kuku besi, masa pemerintahannya dipenuhi dengan kekerasan dan kekejaman terhadap golongan Sunni, Yahudi dan juga Nasrani walaupun ibunya adalah seorang Nasrani berasal dari Russia. Kekejaman dengan bangsa Nasrani ini juga merupakan salah satu penyebab terjadinya Perang Salib.


Pada masa pemerintahannya, pelbagai peristiwa yang berlaku diantaranya;
1004M, al -Hakim memaksa orang yahudi dan nasrani memakai jubah hitam dan berserban untuk menunjukkan perbezaan identiti dengan orang lain. Malah diperbolehkan menunggang keldai sahaja.  Manakala pada tahun 1009M, mereka dikenakan pula memakai salib dan lonceng.
1005M, Mereka mula melaknat Khalifah ar Rasyidin dan para sahabat.
Kaum perempuan tidak dibenarkan keluar rumah dan malah pemakaian kasut bagi golongan perempuan juga dilarang pada masa itu.
Tidak membenarkan memakan kulit ikan dan ikan tanpa sisik.
Al-Hakim pernah membakar penginapan orang-orang Yahudi di Cairo.
1011-1012M, Larangan adanya tanda salib bagi orang kristian.
1013M, mula bertolak ansur dengan penganut ajaran kristian. Beliau mengizinkan orang kristian yang baru memeluk Islam mengamalkan perayaan kristian. Malah beliau juga membangun kembali gereja-gereja.
Pada peringkat awal pemerintahannya, sebagai imam Ismailliyah, beliau menuruti doktrin Ismailliyah, iaitu pemimpin yang dilantik oleh Allah, pemberi panduan, dan penjaga iman. Namun lama kelamaan berubah kepada kepercayaan penjelmaan Allah ke dalam tubuh badannya. The Perennial Dictionary of World Religions mengatakan bahawa pemujaan al-Hakim untuk disembah sebagai Tuhan adalah faktor kunci kelemahan Empayar Fathimiyah
Pada tahun 411H/Februari 1021M al-Hakim pergi berjalan-jalan sendirian ke atas bukit Mukattam dan tidak pulang-pulang dan dianggap hilang dengan misteri. Bagi pengikutnya yang memujanya telah menganggap al-Hakim sebagai jelmaan Tuhan. Terdapat pendapat yang mengatakan kemungkinan beliau dibunuh oleh mereka yang diarahkan oleh adik perempuannya sendiri, Sitt al-Muluk, yang membalas dendam di atas penginayaannya.
Hamza bin Ali meyakini bahawa Al-Hakim ghaib dan naik ke atas langit. Ia akan muncul kembali di tengah-tengah masyarakat. Apabila al-Hakim hilang, Hamza bin Ali meneruskan fahaman mereka secara senyap dengan menyembunyikan kepercayaan sebenar mereka biasa di kalangan Ismailliyah. Ini disebabkan kepercayaan mereka tidak mendapat sambutan dari rakyat dan juga pemerintah seterusnya. Mereka mengamalkan taqiyyah iaitu, dari segi zahir mereka mengikut kepercayaan agama dimana mereka tinggal walaupun mereka secara rahsia mengekalkan keyakinan sebenar mereka. Ini bertujuan untuk menyelamatkan diri dari kecederaan fizikal dan mental.

Ad-Darazi vs Hamza bin Ali

Kepercayaan Hamza bin Ali merupakan intipati ajaran Syiah Druze yang diistiharkankan kepada umum oleh pemuja al-Hakim, iaitu ad-Darazi. Panggilan Druze diambil sempena nama beliau. Ini adalah kerana beliau merupakan orang yang pertama di mata orang ramai menyebarkan ajaran tersebut.
Pengikut-pengikut Druze tidak menganggap ad-Darazi sebagai pengasas iman mereka, tetapi merujuk kepada asas panduan bidaah kepercayaan mereka. Sebenarnya mereka dinamakan Druze oleh kumpulan-kumpulan Islam dan Ismailliyah yang lain, dimana akhirnya menjadi sinonim bagi mereka. Sedangkan pengikut-pengikut Druze lebih merujuk kepada diri mereka sebagai "Unitarian" atau al-Muwahhidun (orang-orang yang bersatu).
Ad-Darazi ataupun nama sebenarnya Muhammad bin Ismail Nashtakin ad-Darazi dilahirkan di Bukhara yang asalnya merupakan seorang pemimpin tentera. Bagi mereka yang berada di luar kelompok Syiah Druze, berpendapat ad-Darazi lah yang sebenar-benarnya menganggap al-Hakim sebagai tuhan. Ad-Darazi dan pengikut-pengikutnya makin berkembang dan mula menjadi taksub dengan kepimpinan dengan mengelar dirinya sebagai "Pedang Iman". Hamza bin Ali membantah gelaran tersebut dengan mengatakan "Iman tidak memerlukan pedang untuk membantu". Ad-Darazi menganggap dia seharusnya menjadi pemimpin dakwah kepada al-Hakim, bukannya Hamza bin Ali.
Tujuan ad-Darazi adalah untuk mendapatkan perhatian dari al-Hakim. Al-Hakim merasakan ad-Darazi juga telah cuba untuk menggambarkan dirinya sebagai nabi baru. Ad-Darazi cuba beralih kepada orang awam untuk menyakinkan bahawa al-Hakim adalah jelmaan tuhan, malangnya menimbulkan kemarahan orang ramai dan dari kalangan Ismalliyah, menyebabkan beliau mengisytiharkan bahawa kononnya dia telah bertindak atas arahan Hamza bin Ali.
Akibat daripada kepercayaan yang dibawa oleh ad-Darazi telah membawa kepada rusuhan dan serangan dari orang ramai hingga membawa kematian dikalangan pengikut-pengikutnya dan ad-Darazi sendiri telah terbunuh pada tahun 1018M. Sesetengah pendapat beliau dihukum mati oleh al-Hakim.
Hamza dan ad-Darazi menyebar ajaran akan ketuhanan al-Hakim mengikut tafsiran mereka sendiri, tetapi Hamza bertindak secara halus, seolah-olah berhati-hati dan bercadang untuk membina sebuah organisasi yang berdisiplin. Tetapi, ad-Darazi melakukan pergerakan sangat drastik hingga membawa kekacauan hinggakan istilah Ad-Darazi atau Druze terlekat pada pergerakan tersebut sehingga sekarang.

Sejarah Penyebaran Syiah Druze

Sejarah berkenaan Druze lebih mengutamakan isu-isu yang berkaitan dengan teologi berbanding merakam sejarah perkembangannya. Sejarah Druze mula dikumpul dan ditulis dalam abad ke-16 dan ke-17, seperti "Majra az-Zaman" oleh Taqi ad-Din Zayn al-Abidin Abdul Gaffar dalam abad ke-16, dan "Umdat al-Arifin "oleh Abdul Malik al-Ashrafani dalam abad ke-17.
Terdapat para sejarahwan berpendapat al-Hakim sendiri tidak menggelar dirinya sebagai jelmaan tuhan.  Satu percanggahan dari pelbagai sumber dimana al-Hakim juga dikatakan melarang rakyatnya sujud di hadapannya atau mencium tanah tangannya. Al-Hakim marah apabila ad-Darazi menyebarkan dakwahnya dan lalu menyekat propaganda ad-Darazi. Memandangkan Hamza menjadi pemimpin dakwah bagi al-Hakim, berlakulah fitnah terhadapnya seolah-olah al-Hakim merestui atau mendakwa dirinya sebagai jelmaan tuhan.
Selepas Hamza, kepercayaan mereka ini diwarisi oleh Ismail bin Muhammad al-Tamimi. Kemudian diikuti Muhammad bin Wahab al-Qoraishi, Salma bin Abdul Wahab al-Samuri dan akhirnya Ali bin Ahmad al-Sammuqi ataupun dikenali sebagai Baha'uddin al-Muqtana (979M – 1043M). Kelima-lima pemimpin ini melengkapi lima prinsip kosmik yang diamalkan, dan ajaran mereka telah dikira sebagai sempurna sesudah itu.

Selepas kematian pemimpin mereka Baha'uddin al-Muqtana, agama mereka menjadi eksklusif dan menyimpan rahsia ajaran agama mereka. Memandangkan mereka mengamalkan taqiyyah, amalan mereka berbeza antara sesuatu tempat dengan tempat yang lain bergantung amalan agama disesebuah tempat. Malah mereka berkahwin dalam sesama komuniti mereka sahaja menjadikan komuniti mereka agak terasing dan ekslusif.


Masyarakat Komuniti Druze kini

Druze dikategorikan sebagai aliran mazhab dari Syiah Ismailliyah dengan bilangan penganutnya kira-kira 200,000-300,000 orang sahaja. Kebanyakan penganut sekarang terdiri daripada berbangsa Arab, kecuali rakyat Israel berfahaman Druze ini menafikan mereka dari bangsa Arab walaupun berbahasa Arab.

Gambar diambil pada 1949, unit Druze dalam angkatan tentera Israel.

Mereka ini terdapat di negara-negara Arab khususnya di Lubnan (Beirut), Palestin/Israel, pergunungan Syria dan Turki. Di Syria mereka pernah melakarkan sejarah menentang penjajah Perancis pada lewat 1920an. Penganut mereka di Syria mulai berkurangan apabila berlaku penghijrahan ke Amerika Syarikat disebabkan isu agama dan politik. Druze di Syria sekarang diiktiraf sebagai agama yang tersendiri dan tidak berada dibawah kawalan kementerian hal ehwal Islam.

Taburan Komuniti Druze di wilayah arab

No comments:

Post a Comment