Sunday, 16 October 2016

Empayar Kerajaan Fathimiyyah

Pengasas Kerajaan Fathimyah

Imam ke 7 Ismailliyah, Muhammad bin Ismail meninggal dunia dalam keadaan tidak memiliki keturunan. Maka kepimpinan kemudiannya beralih diterajui oleh pengikut-pengikutnya yang seterusnya iaitu;
  •  Abdulah bin Muhammad (179-212 H)
  •  Ahmad bin Abdulah (198-265 H)
  •  Husein bin Ahmad (219-287 H)
Ketiga-tiga pemimpin di atas tidak mengangkat diri mereka sebagai Imam. Hanya sekadar menjadi pewaris kepemimpinan spritual mereka sahaja. Didalam teks sejarah, terdapat pelbagai nama samaran diletakkan kepada mereka. Penganut Ismailliyah beranggapan, nama samaran itu bertujuan melindungi mereka dari ancaman kerajaan Abbasiah.

Kemudiannya, komuniti Ismailliyah mula dipimpin oleh Muhammad bin Husein (Ubaidulah Al-Mahdi) (260-323 H).  Ubaidilah Al-Mahdi menggelar dirinya sebagai Imam ke 11 Ismailliyah (berdasarkan turutan waris diatas) dan mengiktiraf ketiga-tiga mereka diatas sebagai Imam. Secara tidak langsung, beliau menafikan imam terakhir dan kemahdian Ismail bin Jaafar atau Muhammad bin Ismail. Beliau juga dikatakan mengubah nama dan nasabnya sebagai keturunan ahlul bait dari Muhammad bin Ismail bin Ja'far Ash-Shadiq. Beliau mengatakan moyangnya, Muhammad bin Ismail juga dinamakan sebagai Maimun Qaddah.

Nama moyangnya yang sebenar ialah Maimun bin Dishan Al-Qaddah. Maimun Qaddah (al-Qaddah) adalah berasal dari keturunan majusi. Kemudian al-Qaddah menganut Syiah Ismailiyah. Al-Qaddah membawa fahaman bathiniyah yang menyatakan imam itu mempunyai sifat maksum yang tidak terhingga kerana pelantikannya daripada Allah.

Imam Suyuti dalam Tarikh Khulafa' berkata: ". . . bahkan sebenarnya nenek moyang mereka adalah majusi".

Al Qadhi Abu Bakar Al Baqilani mengatakan: "Al Qaddah, yakni moyang Ubaidillah yang menamakan dirinya Al Mahdi sebenarnya dia adalah seorang majusi".

Pengangkatan beliau (Ubaidulah Al-Mahdi) sebagai Imam ke 11 telah mendapat tentangan keras oleh pendakwah-pendakwah Ismailliyah yang diketuai oleh Hamdan Qarmath (yang kemudiannya mengasaskan Syiah Qaramithah). 
Bagaimanapun pendakwah-pendakwah Ismailiyyah di Afrika Utara masih taat setia kepada Ubaidilah Al-Mahdi. Pada tahun 297H, dengan bantuan pengikut-pengikutnya, Ubaidilah mengisytiharkan penubuhan kerajaan kecil Fatimiyyah pertama di Maghribi. Nama Fatimiyyah adalah sempena nama puteri Rasulullah, Fatimah binti Muhammad. 

Zaman Kegemilangan

Berikut adalah pemerintah-pemerintah (dan juga sebagai Imamah) seterusnya Kerajaan Fathimiyyah;
  • Muhammad Al-Qaim bi Amrilah (280-334 H)
  • Al-Manshur bi Alah (303-343 H)
  • Al-Mu'izzun li Dinillah (317-365 H)
  • ‘Azizun bi Alah (344-486 H)
  • Al-Hakim bi Alah (386-411 H)
  • Al-Zhahir li ‘Izaz Dinilah (411-428 H)
  • Al-Mustanshir Billah Muid, Amir ke 8 (Imam ke 18), 61 tahun memerintah (427-487 H) dalam kerajaan Fathimyyah. 

Mereka semua ini memerintah selama 185 tahun. Selama 185 tahun ini dapat dikatakan sebagai masa keemasan Ismailiyah. Pada masa inilah pemikiran Syiah Ismailiyah dibukukan. Ilmuwan-ilmuwan seperti Abu Hatim, Ar-Razi, Nashir Khasru dan lain-lain hidup di masa keemasan ini.

Zaman Kegemilangan Empayar Kerajaan Fathimiyyah

Pusat pentadbiran berpindah ke Mesir sewaktu dipimpin oleh Al-Mu'izzun li Dinillah dengan dibantu oleh perdana menterinya Jauhar bin Abdilah pada tahun 358H menjadikan Cairo sebagai pusat pemerintahannya. Pada tahun 359H mereka membangun universiti Islam Al-Azhar (sesetengah pendapat mengatakan asalnya dinamakan Universiti Az Zahra iaitu sempena tanda peringatan kepada anak Rasulullah s.a.w, Fatimah). Pada tahun 361H secara rasmi pemerintahannya dipindah dari Maghribi ke Mesir.

Al-Mu'izzun li Dinillah merupakan pemimpin yang sangat menitikberatkan perpaduan Islam. Setelah Al-Mu'izzun li Dinillah wafat, ia digantikan oleh anaknya Abu Manshur Ranzar yang dikenali sebagai Al-‘Azizu bi Alah juga mengikut langkah murni bapanya, malah sangat bertoleransi dengan orang yahudi dan nasrani.

Bagaimanapun penggantinya, anak beliau iaitu Al-Hakim bi Alah berbeza sama sekali layanannya sangat keras kepada masyarakat yahudi dan nasrani, begitu juga dengan ahli sunni. Malah disinilah titik mulanya Syiah Ismailiyyah melaknat Khalifah ar Rasyidin dan para sahabat.
Pemerintah dihujung zaman keemasan Fatimiyyah ialah Al-Mustanshir. Ketika menjadi khalifah umurnya baru tujuh tahun dan kekuasaannya dipegang oleh menteri-menterinya dibawah pengaruh Nashir Ad-Daulah. Dengan bantuan Badr Al-Jamali, Al-Mustanshir berjaya mengusir Nashir Ad-Daulah dan membunuh semua penentangnya. Badr Al-Jamali kemudiannya dijadikannya sebagai perdana menteri. Diantara puncak kegemilangan pemerintahan Al-Mustanshir ialah pada tahun 450 H/1058 , kerajaan Fathimiyyah berjaya menguasai Baghdad yang ketika itu menjadi saingan ibukota Dinasti Abbasiyah.

Selepas Al-Mustanshir meninggal dunia iaitu pada tahun 487H/1094M terjadi krisis terbesar dialami oleh Syiah Ismailiyah yang menyebabkan terbaginya Syiah Ismailiyah menjadi dua bahagian iaitu, Musta'lawiyah dan Nizariyah. 

Zaman Penghujung

Dibawah adalah pemerintah di zaman malap dan kejatuhan kerajaan Fatimiyyah iaitu;
  • Ahmad al-Musta ‘li 
  • al-Amir Bi-Ahkamillah
  • al-Hafiz
  • al-Zafr
  • al-Fa’iz
  • Al-’Adid pemerintah Kerajaan Fathimiyyah terakhir, ditamatkan pemerintahannya oleh tentera Salahuddin al Ayubi pada tahun 1171M


No comments:

Post a Comment