Khalifah al-Hakim
Apabila Khalifah ke 5
Fathimiyyah, Abu Manshur Ranzar (Al-‘Azizu bi Alah) meninggal dunia, tampuk
pemerintahan diserahkan kepada puteranya iaitu, Al-Hakim bi Alah sebagai amir
(khalifah) yang ke 6. Ketika ditabalkan menjadi ketua negara, al-Hakim baru
berusia 11 tahun.
Seorang pendakwah
berbangsa Parsi, Hamza ibn Alī ibn Ahmad adalah pelopor utama mengagungkan
al-Hakim. Pada 30 Mei 1017, al-Hakim mengisytiharkan Imam Hamza ibn 'Ali
sebagai pemimpin dakwah mereka. Ketika itu, Hamza bin Ali berusia 33 tahun
seusia dengan al-Hakim. Sejak masa itu, pegawai-pegawai kerajaan diminta
menyembah al-Hakim sebagai jelmaan Tuhan, iaitu dikatakan Tuhan masuk kedalam
jasad beliau.
Al-Hakim juga
dikatakan memerintah secara kuku besi, masa pemerintahannya dipenuhi dengan
kekerasan dan kekejaman terhadap golongan Sunni, Yahudi dan juga Nasrani
walaupun ibunya adalah seorang Nasrani berasal dari Russia. Kekejaman dengan
bangsa Nasrani ini juga merupakan salah satu penyebab terjadinya Perang Salib.
Pada masa
pemerintahannya, pelbagai peristiwa yang berlaku diantaranya;
1004M, al -Hakim
memaksa orang yahudi dan nasrani memakai jubah hitam dan berserban untuk
menunjukkan perbezaan identiti dengan orang lain. Malah diperbolehkan
menunggang keldai sahaja. Manakala pada
tahun 1009M, mereka dikenakan pula memakai salib dan lonceng.
1005M, Mereka mula
melaknat Khalifah ar Rasyidin dan para sahabat.
Kaum perempuan tidak
dibenarkan keluar rumah dan malah pemakaian kasut bagi golongan perempuan juga
dilarang pada masa itu.
Tidak membenarkan
memakan kulit ikan dan ikan tanpa sisik.
Al-Hakim pernah
membakar penginapan orang-orang Yahudi di Cairo.
1011-1012M, Larangan
adanya tanda salib bagi orang kristian.
1013M, mula bertolak
ansur dengan penganut ajaran kristian. Beliau mengizinkan orang kristian yang
baru memeluk Islam mengamalkan perayaan kristian. Malah beliau juga membangun
kembali gereja-gereja.
Pada peringkat awal
pemerintahannya, sebagai imam Ismailliyah, beliau menuruti doktrin Ismailliyah,
iaitu pemimpin yang dilantik oleh Allah, pemberi panduan, dan penjaga iman.
Namun lama kelamaan berubah kepada kepercayaan penjelmaan Allah ke dalam tubuh
badannya. The Perennial Dictionary of World Religions mengatakan bahawa
pemujaan al-Hakim untuk disembah sebagai Tuhan adalah faktor kunci kelemahan Empayar
Fathimiyah
Pada tahun
411H/Februari 1021M al-Hakim pergi berjalan-jalan sendirian ke atas bukit
Mukattam dan tidak pulang-pulang dan dianggap hilang dengan misteri. Bagi
pengikutnya yang memujanya telah menganggap al-Hakim sebagai jelmaan Tuhan.
Terdapat pendapat yang mengatakan kemungkinan beliau dibunuh oleh mereka yang
diarahkan oleh adik perempuannya sendiri, Sitt al-Muluk, yang membalas dendam
di atas penginayaannya.
Hamza bin Ali meyakini
bahawa Al-Hakim ghaib dan naik ke atas langit. Ia akan muncul kembali di
tengah-tengah masyarakat. Apabila al-Hakim hilang, Hamza bin Ali meneruskan
fahaman mereka secara senyap dengan menyembunyikan kepercayaan sebenar mereka
biasa di kalangan Ismailliyah. Ini disebabkan kepercayaan mereka tidak mendapat
sambutan dari rakyat dan juga pemerintah seterusnya. Mereka mengamalkan
taqiyyah iaitu, dari segi zahir mereka mengikut kepercayaan agama dimana mereka
tinggal walaupun mereka secara rahsia mengekalkan keyakinan sebenar mereka. Ini
bertujuan untuk menyelamatkan diri dari kecederaan fizikal dan mental.
Ad-Darazi
vs Hamza bin Ali
Kepercayaan Hamza bin
Ali merupakan intipati ajaran Syiah Druze yang diistiharkankan kepada umum oleh
pemuja al-Hakim, iaitu ad-Darazi. Panggilan Druze diambil sempena nama beliau.
Ini adalah kerana beliau merupakan orang yang pertama di mata orang ramai
menyebarkan ajaran tersebut.
Pengikut-pengikut
Druze tidak menganggap ad-Darazi sebagai pengasas iman mereka, tetapi merujuk
kepada asas panduan bidaah kepercayaan mereka. Sebenarnya mereka dinamakan
Druze oleh kumpulan-kumpulan Islam dan Ismailliyah yang lain, dimana akhirnya
menjadi sinonim bagi mereka. Sedangkan pengikut-pengikut Druze lebih merujuk
kepada diri mereka sebagai "Unitarian" atau al-Muwahhidun
(orang-orang yang bersatu).
Ad-Darazi ataupun nama
sebenarnya Muhammad bin Ismail Nashtakin ad-Darazi dilahirkan di Bukhara yang
asalnya merupakan seorang pemimpin tentera. Bagi mereka yang berada di luar
kelompok Syiah Druze, berpendapat ad-Darazi lah yang sebenar-benarnya
menganggap al-Hakim sebagai tuhan. Ad-Darazi dan pengikut-pengikutnya makin
berkembang dan mula menjadi taksub dengan kepimpinan dengan mengelar dirinya
sebagai "Pedang Iman". Hamza bin Ali membantah gelaran tersebut
dengan mengatakan "Iman tidak memerlukan pedang untuk membantu".
Ad-Darazi menganggap dia seharusnya menjadi pemimpin dakwah kepada al-Hakim,
bukannya Hamza bin Ali.
Tujuan ad-Darazi
adalah untuk mendapatkan perhatian dari al-Hakim. Al-Hakim merasakan ad-Darazi
juga telah cuba untuk menggambarkan dirinya sebagai nabi baru. Ad-Darazi cuba
beralih kepada orang awam untuk menyakinkan bahawa al-Hakim adalah jelmaan
tuhan, malangnya menimbulkan kemarahan orang ramai dan dari kalangan
Ismalliyah, menyebabkan beliau mengisytiharkan bahawa kononnya dia telah bertindak
atas arahan Hamza bin Ali.
Akibat daripada
kepercayaan yang dibawa oleh ad-Darazi telah membawa kepada rusuhan dan
serangan dari orang ramai hingga membawa kematian dikalangan
pengikut-pengikutnya dan ad-Darazi sendiri telah terbunuh pada tahun 1018M.
Sesetengah pendapat beliau dihukum mati oleh al-Hakim.
Hamza dan ad-Darazi
menyebar ajaran akan ketuhanan al-Hakim mengikut tafsiran mereka sendiri,
tetapi Hamza bertindak secara halus, seolah-olah berhati-hati dan bercadang
untuk membina sebuah organisasi yang berdisiplin. Tetapi, ad-Darazi melakukan
pergerakan sangat drastik hingga membawa kekacauan hinggakan istilah Ad-Darazi
atau Druze terlekat pada pergerakan tersebut sehingga sekarang.
Sejarah
Penyebaran Syiah Druze
Sejarah berkenaan
Druze lebih mengutamakan isu-isu yang berkaitan dengan teologi berbanding
merakam sejarah perkembangannya. Sejarah Druze mula dikumpul dan ditulis dalam
abad ke-16 dan ke-17, seperti "Majra az-Zaman" oleh Taqi ad-Din Zayn
al-Abidin Abdul Gaffar dalam abad ke-16, dan "Umdat al-Arifin "oleh
Abdul Malik al-Ashrafani dalam abad ke-17.
Terdapat para
sejarahwan berpendapat al-Hakim sendiri tidak menggelar dirinya sebagai jelmaan
tuhan. Satu percanggahan dari pelbagai
sumber dimana al-Hakim juga dikatakan melarang rakyatnya sujud di hadapannya
atau mencium tanah tangannya. Al-Hakim marah apabila ad-Darazi menyebarkan
dakwahnya dan lalu menyekat propaganda ad-Darazi. Memandangkan Hamza menjadi
pemimpin dakwah bagi al-Hakim, berlakulah fitnah terhadapnya seolah-olah
al-Hakim merestui atau mendakwa dirinya sebagai jelmaan tuhan.
Selepas Hamza,
kepercayaan mereka ini diwarisi oleh Ismail bin Muhammad al-Tamimi. Kemudian
diikuti Muhammad bin Wahab al-Qoraishi, Salma bin Abdul Wahab al-Samuri dan
akhirnya Ali bin Ahmad al-Sammuqi ataupun dikenali sebagai Baha'uddin
al-Muqtana (979M – 1043M). Kelima-lima pemimpin ini melengkapi lima prinsip
kosmik yang diamalkan, dan ajaran mereka telah dikira sebagai sempurna sesudah
itu.
Selepas kematian
pemimpin mereka Baha'uddin al-Muqtana, agama mereka menjadi eksklusif dan
menyimpan rahsia ajaran agama mereka. Memandangkan mereka mengamalkan taqiyyah,
amalan mereka berbeza antara sesuatu tempat dengan tempat yang lain bergantung
amalan agama disesebuah tempat. Malah mereka berkahwin dalam sesama komuniti
mereka sahaja menjadikan komuniti mereka agak terasing dan ekslusif.
Masyarakat
Komuniti Druze kini
Druze dikategorikan
sebagai aliran mazhab dari Syiah Ismailliyah dengan bilangan penganutnya
kira-kira 200,000-300,000 orang sahaja. Kebanyakan penganut sekarang terdiri
daripada berbangsa Arab, kecuali rakyat Israel berfahaman Druze ini menafikan
mereka dari bangsa Arab walaupun berbahasa Arab.
Gambar diambil pada
1949, unit Druze dalam angkatan tentera Israel.
Mereka ini terdapat di
negara-negara Arab khususnya di Lubnan (Beirut), Palestin/Israel, pergunungan
Syria dan Turki. Di Syria mereka pernah melakarkan sejarah menentang penjajah
Perancis pada lewat 1920an. Penganut mereka di Syria mulai berkurangan apabila
berlaku penghijrahan ke Amerika Syarikat disebabkan isu agama dan politik.
Druze di Syria sekarang diiktiraf sebagai agama yang tersendiri dan tidak
berada dibawah kawalan kementerian hal ehwal Islam.
Taburan Komuniti Druze di wilayah
arab
No comments:
Post a Comment