Semasa Saidina Ali
memegang tampuk pemerintahan, beliau tidak pernah mewasiatkan sesiapa untuk
menjadi calon penggantinya. Menurut Al-Imam al-Baihaqi rahimahullah (458H)
meriwayatkan bahawa orang ramai meminta Ali melantik bakal pengganti beliau.
Lalu Ali menjawab:
“Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam tidak melantik seorang pengganti (maka aku tidak
akan menyelisihi sunnah sedemikian). Akan tetapi jika Allah mengkehendaki
kebaikan kepada manusia, Allah akan mengumpul mereka sesudah aku di atas
kebaikan mereka (sendiri) sebagaimana Allah telah mengumpul mereka (para
sahabat) sesudah Nabi mereka shallallahu 'alaihi wasallam di atas kebaikan
mereka (sendiri).” [al-Sunan al-Kubra (diteliti oleh Muhammad ‘Abd al-Qadir
‘Atha’; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1999), riwayat no: 16573]
Pengikutnya juga
pernah meminta kepada beliau agar mengangkat Saidina Hasan ra sebagai Khalifah
ketika menghampiri saat kematiannya. Beliau tetap menegaskan;
"Saya tidak
memerintahkan kalian dan saya juga tidak melarang kalian, saya tinggalkan
kalian sebagaimana Rasulullah meninggalkan kalian." (H.R. Ahmad)
Selepas kemangkatan
Khalifah Ali, masyarakat Islam telah bermuswarah mengangkat Hasan sebagai
khalifah untuk menggantikan ayahnya. Orang pertama yang mencadangkan beliau
ialah Qays ibn Sa’d ibn Ubadah. Qays juga mencadangkan kepada Hasan untuk
menghantar bala tentera bagi memerangi Syam (Muawiyah). Hasan menghantar
ribuan tentera ke Syam dan bertembung dengan tentera Muawiyah yang sedang
menunggu di al-Madain. Seterusnya, berlakulah pertempuran yang dikuasai sepenuhnya
oleh tentera Muawiyah.
Penduduk/Tentera Kufah
sendiri tidak bersatu padu menyokong sepenuhnya kepada Hasan. Terdapat
sebilangan yang mengkhianati, belot dan meragui Hasan sebagai pemimpin. Apabila
Hasan melihat keadaan masyarakat Islam telah berpecah belah, lalu beliau
menulis sepucuk surat kepada Muawiyah yang telah kembali ke Syam untuk
mengadakan perdamaian antara dua pihak. Hasan lebih mengingini kemaslahatan dan
perpaduan umat Islam. Pada saat itu umat Islam juga masih berselisih kerana
para pembunuh Uthman r.a yang masih belum dikesan. Hasan ingin menutup
perselisihan ini dengan perdamaian tersebut yang menjadi asas kepada penyerahan
jawatan khalifah kepada Muawiyah.
Muawiyah menerima
cadangan tersebut lalu menghantar Abdullah ibn Amir dan Abd. Rahman ibn
Samurrah kepada Hasan di Kufah. Dalam perbincangan tersebut, Hasan
menyampaikan hasratnya untuk menyerahkan jawatan khalifah. Muawiyah juga
diminta tidak melantik pengganti jawatan khalifah seterusnya. Urusan
perlantikan khalifah hendaklah diserahkan kepada ahli syura. Muawiyah juga
hendaklah mengekalkan keamanan dengan tidak memerangi penyokong-penyokong Ali
dan Hasan sendiri, selain itu hendaklah menjaga kebajikan ahlul bait. Muawiyah
juga tidak dibenarkan menghukum orang yang tidak disukainya sebelum itu,
membalas dendam atau sebagainya.
Perdamaian ini
mengingatkan ramai para sahabat dan Muawiyah sendiri akan sabda Rasulullah
s.a.w; “Sesungguhnya cucuku ini adalah Sayyid, semoga Allah mendamaikan
dengannya dua kumpulan umat Islam yang sedang berselisih.” [Shahih al-Bukhari –
hadis no: 3629]
Tahun perdamaian ini
dikenali A’mul Jamaah kerana kaum muslimin bersatu dibawah satu pemimpin.
Penyerahan kuasa ini berlaku di Kufah pada hari Khamis bulan Rabiul Awwal 41H.
Sesetengah pendapat mengatakan pada awal bulan Jamadil Awwal. Hasan dan diikuti
oleh Muawiyah telah menyampaikan pengistiharan itu dihadapan penduduk Kufah dan
para muslimin selepas proses bai’ah selesai dijalankan. Begitulah akhirnya
kekhalifahan Hasan melepaskan jawatannya yang disandang selama 6 bulan sahaja.
Salah seorang penduduk
Kufah, Abu Amir Said ibn al-Natl menemui Hasan lalu berkata “Sejahtera ke
atasmu wahai penghina kaum muslimin!” Hasan menjawab “Janganlah berkata begitu
wahai Amir. Aku bukan berniat menjadi penghina kaum muslimin akan tetapi yang
sebenarnya aku enggan (tidak suka) memerangi mereka lantaran berebutkan kekuasaan”.
Kemudiannya, Hasan dan
seluruh keluarganya termasuk Husain pun meninggalkan Kufah dan menuju ke
Madinah al-Munawwarah. Disepanjang perjalanannya, pelbagai rungutan dan
kemarahan dilemparkan oleh penyokongnya kerana Hasan melepaskan jawatan
khalifah kepada Muawiyah.
Hampir sepuluh tahun
Hasan ra. tinggal di Madinah, dan waktunya banyak dihabiskan untuk beribadah
dan mengajar agama, malah menuntut ilmu dari kalangan sahabat yang masih ada.
Pada 28 Safar 50H,
Saidina Hasan meninggal dunia dalam usia 47 tahun dan dimakamkan dipemakaman
umum Baqi’. Menurut versi syiah, beliau wafat kerana diracun oleh isterinya
sendiri yang diarahkan oleh Muawiyah.
No comments:
Post a Comment