Sunday 16 October 2016

Ismailliyah Musta'lawiyah

Ajaran Musta’lawiyah diakui secara rasmi oleh kerajaan Fathimiyyah dibawah pemerintahan Ahmad al-Musta ‘li (amir ke 9). Manakala pesaingnya, iaitu abangnya sendiri, Nizar dipenjarakan sehingga beliau mati didalam penjara.
Ahmad al-Musta ‘li memerintah pada era kejatuhan pemerintahan Fathimiyah, dengan sendirinya pengikut Musta’lawiyah turut lemah dan berpecah.  Ahmad al-Musta ‘li telah digantikan oleh anaknya iaitu al-Amir Bi-Ahkamillah (1101-1130). Namun selepas al-Amir dibunuh, pengikut-pengikut Musta’lawiyah berpecah kepada kelompok kecil Hafizi (Al-Majidiyah) dan Taiyabi (At-Thibiyah). Al-Amir tidak menamakan waris beliau, sepupu beliau al-Hafiz telah mengambil takhta tanpa bertanding.

Sebahagian besar pengikut Musta'lawiyah mengiktiraf anak al-Amir iaitu Tayyib Abi al-Qasim berusia 2 tahun sebagai waris/imam (ke 21) yang sah, seterusnya membawa kepada perpecahan baru. Tayyib Abi al-Qasim dibawa oleh pengikutnya berhijrah ke Yaman. Kelompok ini masih menjaga karya-karya sastera dan fahaman mereka. Pengikut ajaran ini mempercayai kehadiran imam  ghaib  dan juga meyakini kepemimpinan yang dinamakan Da'i Muthlaq (penyeru mutlak) selain daripada kepercayaan kepada Imamah.

Kini, kelompok Taiyabi mempunyai beberapa cabang yang masih aktif seperti Dawoodi Bohra, Sulaimaniyah Bohra, dan Alavi Bohra.
Taiyabi adalah cabang Ismailiyah Musta'lawiyah yang berpecah daripada pemerintahan kerajaan Fathimiyah. Mereka mengiktiraf anak al-Amir iaitu Tayyib Abi al-Qasim berusia 2 tahun sebagai waris/imam (ke 21) yang sah. Mereka tidak mengiktiraf sepupu al-Amir, iaitu al-Hafiz yang mengambil tampuk pemerintahan Kerajaan Fathimiyah. 
Taiyab abi al-Qasim dibesarkan dan dilindungi oleh pengikut-pengikutnya di Yaman. Tidak banyak maklumat berkenaan perjalanan hidup beliau. Terdapat sumber yang mengatakan Taiyab abi al-Qasim sebenarnya tidak wujud atau meninggal dunia sejak usia kecil.  Imam al-Amir dikatakan tidak mempunyai waris. Terdapat juga sumber lain yang mengatakan Taiyab abi al-Qasim ghaib dan akan muncul semula sebagai Imam Mahdi.

Dai Mutlaq

Ilustrasi pelukis: Ratu Arwa al-Sulayhi

Kelompok at-Taiyabi dan keimaman al-Tayyib telah diiktiraf oleh Ratu Yaman, Hurratul-Malika Arwa al-Sulayhi. Ratu Arwa telah dilantik sebagai hujjah (dai suci) pada 1084M oleh amir Kerajaan Fathimiyah terdahulu, iaitu Al-Mustansir. Hujjah adalah ranking tertinggi dalam pemimpin ajaran Ismailliyah di Yaman. Beliau adalah wanita pertama yang memegang jawatan tersebut.

Makam Hurratul-Malika Arwa al-Sulayhi (kiri) yang terletak berhampiran dengan masjid Hurrat-ul-Malika, Jibla,Yemen (kanan).

Istana Hurratul-Malika

Selain mempercayai kepimpinan Imamah, komuniti Taiyabi menyakini Da’i Mutlaq.sebagai pemimpin dakwah mereka. Dai Mutlaq ini adalah penerus kepada kepimpinan ajaran Ismailliyah sementara ketiadaaan Imam mereka yang dikatakan ghaib.
Da'i Muthlaq adalah pemimpin spritual yang ditugaskan untuk berdakwah dan menyebarkan ajaran Ismailliyah. Golongan ini tidak melibatkan diri dari urusan politik dan soal pemerintahan. Dai Mutlaq yang pertama yang dilantik ialah, Zoeb (al-Dhu’ayb) bin Moosa al-Wadei yang dilantik oleh Permaisuri Arwa pada 532H. Dibawah Dai Mutlaq terdapat pembantunya yang diberi gelaran sebagai Mawazeen/Mazoon/ Ma'dhun dan Mukasirin/Mukasir

Bohra

Sejak kepimpinan dakwah diterajui oleh Zoeb Moosa, ajaran mereka berkembang dipelusuk rantau termasuk di Gujarat India. Ajaran mereka cepat berkembang apabila kebanyakan pengikut ajaran mereka adalah dari kalangan pedagang dan pendatang yang dipanggil Bohra. Bohra perkataan itu sendiri datang dari perkataan Gujarati vehru ("perdagangan") merujuk kepada profesion pekerjaan tradisi mereka.
Di Yaman terdapat beberapa halangan dan dugaan dalam penyebaran ajaran mereka kerana majoriti penduduk Yaman adalah berfahaman sunni dan syiah zaidiyah. Oleh itu kerja-kerja dakwah mereka mula beralih ke India. Dai Mutlaq (ke 24) Yusuf Najmuddin ibn Sulaiman mula berhijrah dari Yaman ke India. Kemudian beliau digantikan oleh Mazoon nya iaitu, Jalal Shamsuddin sebagai Dai Mutlaq ke 25 yang beribu pejabat di Ahemdabad, India. Kesemua Dai Mutlaq sehingga sekarang diberi gelaran “Syedna”.

Sebahagian daripada golongan Bohra juga terdiri daripada orang-orang sunni yang bermazhab Hanafi. Mereka adalah Sunni Bohras yang tinggal di wilayah Sindh di Pakistan dan negeri Gujarat, India. Di wilayah Patan, terdapat kumpulan masyarakat sunni (mazhab Hanafi) dinamakan Patani Bohra. Mereka asalnya adalah kelompok ajaran Syiah Ismailliyah, yang meninggalkan fahaman tersebut dan menganut ajaran sunni.

Dawoodi Bohra

Dawoodi Bohra diasaskan oleh Dai Muthlaq ke 27 mereka, iaitu Dawud Burhanud-Din Qutb Sha yang bertapak di Ahmedabad India. Komuniti ini mempunyai campuran budaya, termasuk dari Yaman, Mesir, Afrika, dan India. Di samping itu mereka mempunyai bahasa sendiri dipanggil Lisanud-Da’wat ("bahasa Da’wat") yang bercirikan tulisan Perso-Arab dan berasaskan bahasa Urdu, Gujarati dan Parsi. 
Dawoodi Bohra dalam kitab mereka, Taqqarub, mendakwa mempunyai nama sebenar semua 21 imam dalam urutan termasuk yang imam-imam yang tersembunyi iaitu, 
  • Imam ke 8 "Abd Allāh ibn Muhammad ibn Ismāīl al-Wafī” nama sebenar kepada Wafī Ahmad. 
  • Imam ke 9 "Aḥmad ibn Abd Allāh ibn Muḥammad at-Taqī" nama sebenar Taqī Muhammad
  • Imam ke 10 “al-Husayn ibn Ahmad ibn Abd Allāh ar-Radi/al-Zakī" nama sebenar kepada Radi (Rabi) Abdullah
Di India, komuniti Bohra sering dianiaya oleh pemerintah Moghul. Misalnya, Dai ke 32, Qutubuddin Shaheed telah dihukum pancung pada tahun 1648 Masihi di bawah pemerintahan Aurangzeb. Dai ke 34 iaitu Ismail Badruddin menukarkan pejabat dakwahnya (dawat) dari Ahmedabad ke Jamnagar. Selepas itu pejabat mereka sering berpindah seperti ke Mandvi, JamNagar, Ujjain, Burhanpur, Surat dan seterusnya ke Mumbai sehingga sekarang.

Da'i Muthlaq ke 52, Mohammad Burhanuddin.

Pada masa ini, puak terbesar Taiyabi ialah dari Dawoodi Bohra yang diketuai oleh Da'i Muthlaq ke 52, Mohammad Burhanuddin.


Komuniti Dawoodi Bohra

Perpecahan Dawoodi Bohra

Pada tahun 1529M, golongan Taiyabi (Bohra) berpecah apabila wujudnya dua puak berselisih pendapat siapa yang sepatutnya menjadi Da'i Muthlaq ke 27 iaitu kumpulan Dawud Burhanud-Din Qutb Shah di India (Dawoodi Bohra) atau komuniti yang tinggal di Yaman iaitu, Sulayman bin Hassan (Sulaimaniyah Bohra).
Semasa kepimpinan Dai ke 29 Abduttayyeb Zakiuddin pula, berlaku perpecahan dikalangan mereka kerana wujudnya satu kumpulan serpihan yang diketuai oleh Ali bin Ibrahim (1034 AH/1634 Masihi) iaitu cucu kepada Dai ke 28 Sheikh Adam Safiyuddin. Mereka dinamakan sebagai Aliya Bohra. Sekarang mereka diketuai oleh Da'i Muthlaq ke 44, Abu Haatim Taiyeb Ziyauddin Saheb.


Da'i Muthlaq ke 44 Aliya Bohra, Abu Haatim Taiyeb Ziyauddin Saheb.

Sebuah lagi perpecahan dari kalangan Dawoodi pada tahun 1754, dengan wujudnya Hebtiahs Bohra dalam pertikaian kepimpinan berikutan kematian Dai yang ke 39.
Dalam pertengahan abad ke-20 (1970-1980), terdapat satu lagi perpecahan baru dari satu kumpulan Dawoodi Bohras yang menyatakan bahawa Dai ke 52 telah melampaui batas kuasanya. Mereka membentuk komuniti baru Progresif Dawoodi Bohra, yang diketuai oleh Asgha Ali Engineer.

Pemimpin Progresif Dawoodi Bohra, Asgha Ali Engineer

Sulayman Bohra

Sulayman ibn Hasan adalah timbalan Dai di Yaman kepada Dai ke 26 ibn Dawud Ajabshah. Selepas kematian Ajabshah, berlakukalah pertikaian beliau dengan Mazoon Ajabshah iaitu, Dawud Burhanuddin Qutb Shah mendakwa Da'i Mutlaq adalah haknya dan beliau dapat memenangi sokongan majoriti daripada golongan at-Taiyabi. Ini menyebakan Sulayman kembali ke India untuk menuntut kedudukan tersebut dengan membawa bukti pewaris sebenar Ajabshah. Bagaimanapun Sulayman mati secara misteri di Lahore.

Majoriti penganut Ismailiah Taiyabi di Yaman dan sekumpulan kecil di India masih mengekalkan hak pewarisan kepada Sulayman ibn Hasan. Sulayman ibn Hasan telah digantikan oleh anak sulung beliau, Ja'far ibn Sulayman, sebagai 28 Da'i Mutlaq oleh pengikut-pengikutnya.
Kemudiannya ibu pejabat mereka di Yaman telah berpindah ke Najran. Jumlah pengikut ajaran Sulayman Bohra kini mempunyai kira-kira 300,000 orang yang kebanyakannya tinggal di Najran dan Arab Saudi.  Mereka juga dikenali sebagai Makrami. Sekarang Sulaimaniyah Bohra diketuai oleh Da'i Muthlaq ke 52, al-Fakhri Abdullah ibn Muhammad al-Makrami.





No comments:

Post a Comment