Sunday 16 October 2016

Ismailliyah Nizari

Pemberontakan Nizar

Selepas Al-Mustanshir (amir ke8 / Imam ke18) yang memerintah Kerajaan Fathimiyah meninggal dunia, muncullah perbezaan mengenai siapa penggantinya. Salah seorang puteranya, Ahmad Musta'li telah berjaya menaiki takhta pemerintahan sebagai amir ke 9. Dengan itu kelompok Musta’lawiyah (sempena nama beliau) diiktiraf secara rasmi oleh kerajaan Fathimiyyah.

Bagaimanapun terdapat rakyat yang menganggap abangnya, Nizar al-Mustanshir sebagai waris yang sah kepada takhta Fatimiyyah. Ini membawa kepada perebutan kuasa dan pemberontakan. Bagaimanapun pemberontakan Nizar tidak berjaya dan dipenjarakan sehingga saat kematiannya. Salah seorang pengikut setianya, Abu Hasan as-Saidi telah membawa putera ketiganya Ali al-Hadi berhijrah ke Maghribi. Ali al-Hadi telah diangkat sebagai pengganti (Imam ke 20) oleh pengikutnya selepas kematian Nizar. Kemudian Ali al-Hadi pergi kota Alamut yang diperintah oleh Hasan Sabah. Berbeza dengan imam-imam terdahulu, mereka juga dilantik sebagai amir(khalifah) semasa kerajaan Fathimiyah. Namun Imam Ali al-Hadi hanya membimbing pengikut-pengikutnya hal-hal keagamaan dan tidak melibatkan diri dalam pentadbiran.


Ilustrasi pelukis: Hasan Sabah

Kota Alamut

Ilustrasi pelukis: Kota Alamut

Golongan Nizariyah ini diambil sempena nama Nizar al-Mustanshir yang dianggap sebagai Imam ke 19 Ismailliyah bagi pengikutnya. Fahaman mereka ini dinamakan Syiah Nizari telah diasaskan oleh rakan perjuangan Nizar iaitu, Hasan Sabah.  Hassan Sabah dilahirkan di kota Qom. Pada tahun 483 H/1090 M beliau menguasai istana kota Alamut (sangkar helang dalam bahasa parsi) di Iran iaitu sebuah kota kubu gunung yang terletak di tengah Pergunungan Alborz, selatan Laut Kaspia (Parsi). Pendakwah-pendakwah mereka adalah seperti, Abu Hatim Ar-Razi dan Muhammad bin Amhad Nasafi yang berideologi ajaran yunani, Neo Platonisme telah menggabungkan ajaran Ismailiyah menghasilkan aliran filsafat Ismailiyah Neo Platonisme.

Kesan peninggalan kota Alamut

Pada tahun 487H beliau menjadi pemimpin kerajaan syiah Ismailiyah di Parsi dan memutus hubungannya dengan Kerajaan Fathimiyyah. Beliau mendirikan sebuah kerajaan bagi negara Nizari. Negara yang dibangunnya dikemudian hari lebih dikenali dengan ‘Da’wah jadidah’ (seruan pembaharu). Hassan Sabah perlahan-lahan melebarkan sayap kekuasaannya hingga menguasai Syria, Khurasan dan daerah Utara Iran.  Bagaimanapun Negara Nizari hanya dapat bertahan selama 166 tahun.

Hashasin

Hashasin diambil sempena nama Hassan Sabah iaitu merupakan panggilan pasukan tentera elit yang dilatih sebagai pembunuh senyap keatas musuh-musuhnya terutama dinasti Saljuk yang beraliran Sunni. Sesetengah pendapat, nama Hashasin adalah berasal dari kata Asasiyun, iaitu orang yang berpegang teguh pada iman. Bagi pihak musuhnya pula, nama panggilan tersebut adalah berasal dari kata bahasa arab Hasysyasy yang ertinya penghisap candu (hashish). Istilah inilah yang menjadi asal usulnya panggilan "Assasin" kepada pembunuh upahan dalam bahasa inggeris.

Ilustrasi pelukis: Pembunuh Hashasin

Hashasin yang beribu pejabat di Kota Alamut merupakan pasukan terlatih yang bergerak cepat, menguasai berbagai bahasa dan mampu menggunakan pelbagai senjata. Senjata yang paling terkenal ialah belati pendek melengkung hingga sinonim dengan mereka. Mereka bergerak di seluruh Timur Tengah secara bawah tanah dan rahsia. Mereka umpama perisik yang menjadi sesiapa sahaja demi melaksanakan misi mereka. Kota Alamut dijadikan ibu pejabat mereka. Kisah Hashasin dan Istana Kota Alamut pernah diceritakan oleh pengembara terkenal Marco Polo yang pernah sampai disana menggambarkan istana mereka seperti syurga yang dikelilingi ramai "bidadari".
Zaman Kegelapan Kota Alamut

Selepas Hassan Sabah, terdapat tujuh pemimpin sepeninggalnya yang berkuasa di kota Alamut.  Namun dimusnahkan oleh serangan Mongol. Serangan tentara Mongol pada tahun 654 H/1256 M menyebabkan kejatuhan kerajaan Nizari. Malah serbuan tentera Mongol ke Iran, Iraq dan Syria membuat hubungan Syiah Ismailliyah di antara daerah-daerah ini terputus. Pemimpin atau Imamah terakhir di kota Alamut, Khur Shah dibunuh oleh tentera Mongol tetapi pengantinya, anak beliau Shamsuddin Muhammad dapat dibawa lari oleh pengikutnya ke Azerbaijan. Pengikut-pengikutnya yang selamat melakukan taqiyyah untuk menutup identiti mereka dari pemerintahan Mongol termasuk tidak melakukan hubungan komunikasi dengan Imam mereka.

Selepas kematian Shamsuddin, berlaku perselisihan memilih penggantinya, iaitu diantara Muhammad Shah dan Ghasim Shah. Kelompok Muhammad Shah dan warisnya memiliki pengikut terbanyak hingga abad ke 16, namun makin berkurangan dan hampir tiada sekarang. Manakala kelompok Imam Ghasim Shah dan warisnya mulai bertambah pengikutnya yang menjadi penganut ajaran Nizari.

Penganut Nizari kemudiannya berhijrah ke India, Afghanistan dan lain-lain. Di India mereka dikenali dengan sebutan Khoja. Khoja dalah kelompok Nizariyah yang terbesar, sehinggalah kemunculan dinasti Aga Khan pada abad ke-19. Selain itu, pengikut Nizari hidup bertebaran di Kerman, Tajikistan, Khurasan, Afghanistan dan lain-lain.

Khoja

Khoja asalnya adalah kelompok kasta Lohana di Gujarat yang mengamal agama Hindu dan sebahagian besarnya adalah golongan peniaga. Perkataan Khoja adalah sebutan orang berbahasa Gujarat yang berasal dari istilah  "Khawja" dalam bahasa Parsi.

Pada abad ke 14 sewaktu Nizari dibawah kepimpinan Imam Islam Shah (Imam ke 30 Nizari), pendakwah-pendakwah mereka yang dipimpin oleh Pir Sadardin menyebarkan ajaran Ismailliyah kepada kelompok ini. Mereka telah mengubahsuai doktrin Ismailliyah agar sesuai dengan orang-orang Lohana, hingga ramai dikalangan mereka menganut Syiah Ismailliyah Nizari. Pir Sadardin menggelarkan mereka yang menganut Nizari sebagai Khoja. Masyarakat Khoja mengekalkan adat tradisi hindu termasuk kepercayaan Vaishnavite dalam Dashavatara. Mereka juga menganggap Ali sebagai Kalki iaitu avatar terakhir Vishnu.

Di Pakistan, mereka ramai di wilayah Sindh dan Karachi, manakala di India mereka bertaburan di wilayah Gujarat, Maharashtra, Rajashtan dan Hyderabad. Tempat beribadat mereka dinamakan sebagai Jama'at Khana. Mereka ini mengamalkan ajaran Nizari sehingga lewat abad ke 19 dan 20, mereka berpecah sebahagiannya mengamalkan Syiah Imam 12 dan Sunni. Namun sebahagian besar daripada mereka kekal mengamalkan ajaran Nizari.

Pada abad ke 19 dan 20 iaitu dibawah kepimpinan Imam Aga Khan (Imam ke 46 - 49), berlaku rasa tidak puas hati dikalangan sebahagian masyarakat Khoja kepada kepimpinan Imam. Mereka telah menemui pendakwah Imam 12, Sheikh Zain al-Abidin Mazandarani di Najaf. Mereka berasa lebih selesa dan yakin akan kebenaran Syiah Imam 12. Di atas usaha Sheikh Mazandarani dan Mullah Kader Hussein serta anak muridnya Haji Ghulamali Haji Ismail, ramai masyarakat Khoja telah keluar dari ajaran Syiah Ismailliyah dan menjadi pengikut ajaran Syiah Imam 12. Salah seorang daripadanya ialah seorang tokoh politik Pakistan, Muhammad Ali Jinnah.

Aga Khan

Aga Khan adalah semakna ertinya dgn Imam. Imam yang pertama mengguna gelaran itu ialah Imam Nizari yang ke 46 (diangkat sebagai imam pada 1817–1881) iaitu Hasan Ali Shah Mehalatee (1800–1881).

Seterusnya diwarisi oleh;


  • Aga Khan II: Ali Shah Aga Khan II (1830–1885), sebagai Imam ke 47 pada 12 April 1881–1885)

  • Aga Khan III: Sir Sultan Mohammed Shah (1877–1957), sebagai Imam ke 48 pada 17 Ogos 1885–1957)

  • Aga Khan IV: Prince Shah Karim Al Husseini (1936), sebagai Imam ke 49 pada 11 Julai 1957– sekarang)
Semasa Aga Khan I, beliau serta pengikut-pengikutnya membantu British dalam peperangan Anglo-Afghan (1841-1842). Selain itu terdapat hubungan kerjasama antara kedua-dua pihak. Pada 1887, Kolonial British di India telah mengiktiraf Aga Khan. Di atas bakti beliau, Aga Khan telah menerima pencen dan diberikan gelaran "Prince" daripada Kerajaan British di India.

Keluarga Aga Khan

Sehingga sekarang pengikutnya adalah dianggarkan seramai 20 juta orang iaitu 10% daipada populasi penganut Syiah. Ketika ini dipimpin oleh Aga Khan IV yang juga merupakan pengasas dan pengerusi Rangkaian Pembangunan Aga Khan (AKDN), iaitu salah satu daripada rangkaian pembangunan persendirian terbesar di dunia. AKDN berfungsi memperbaiki kehidupan dan pendidikan terutamanya negara-negara Afrika dan Asia. Pada 1979, Aga Khan mengadakan Program Khan Aga untuk Seni Bina Islam di Universiti Harvard dan Institut Teknologi Massachusetts untuk memperkenalkan kajian seni Islam, seni bina, urbanisme, reka bentuk landskap, dan pemuliharaan.

No comments:

Post a Comment