Sunday 16 October 2016

Ritual Syiah

Al-Tawwabun

Ulama Syiah, Qadhi Nurullah Syustri mencatat di dalam bukunya Majalis al-’Mu’minin bahawa selepas (lebih kurang 4 atau 5 tahun) Saidina Husain terbunuh di Karbala, ketua orang-orang Syiah mengumpulkan orang-orang Syiah dan berkata,
“Kita telah memanggil Saiyidina Husin dengan memberikan janji akan taat setia kepadanya, kemudian kita berlaku curang dengan membunuhnya. Kesalahan kita sebesar ini tidak akan diampunkan kecuali kita berbunuh-bunuhan sesama kita “. 
Dengan itu berkumpullah sekian ramai orang-orang Syiah di tepi Sungai Furat sambil mereka membaca ayat yang bermaksud,” Maka bertaubatlah kepada Tuhan yang telah menjadikan kamu dan bunuhlah dirimu. Itu adalah lebih baik bagimu pada sisi Tuhan yang menjadikan kamu”. (Al Baqarah :54). Kemudian mereka berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Inilah golongan yang dikenali dalam sejarah Islam dengan gelaran “al-Tawwabun”.
Setiap tahun tanggal 10 Muharram penganut-penganut Syiah akan mengadakan upacara pengkabungan sebagai tanda memperingati kematian Imam Husain. Mereka akan mengadakan pelbagai upacara seperti menampar-nampar muka dan dada, menyiksa diri dengan melukakan tubuh serta kepala dengan pisau-pisau kecil bahkan ada yang menggunakan pedang sehingga tubuh dibasahi darah. Di samping itu seorang dari kalangan mereka yang di gelari dengan nama "Zakir Husain" akan mengumandangkan syair-syair ratapan menceritakan penderitaan Ahlul Bait Rasulullah s.a.w. dan kezaliman yang dilakukan terhadap mereka diselangi dengan celaan terhadap Bani Umayyah dan sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. yang dianggap mereka sebagai perampas hak Ahlul Bait.

Ahlus Sunnah sepakat bahawa amalan tersebut merupakan amalan jahiliyyah dan diharamkan berdasarkan kepada hadis daripada Rasulullah s.a.w. Imam Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan hadis daripada Ibnu Mas'ud r.a. bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda, "Bukan dari kalangan kami orang yang memukul-mukul pipi, mengoyak-ngoyak kolar baju dan menyeru dengan seruan jahiliyyah."(Sahih Bukhari Kitabul Janaaiz dan Muslim Kitabul Iman). Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Malik Al-Asy'ari bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda." Meratap adalah termasuk dari amalan jahiliyyah, orang yang meratap bila mana dia meninggal dunia dalam keadaan tidak sempat bertaubat, Allah akan memakaikan kepadanya pakaian dari minyak tar (yang panas) dan baju dari nyalaan api neraka”. (Sunan Ibnu Majah bab larangan dari meratap).

No comments:

Post a Comment