Monday 17 October 2016

Pemilihan Khalifah selepas Umar Al-Khattab

Pada tahun 644M, Khalifah Umar Al-Khattab mati dibunuh oleh seorang Majusi bernama Abu Lu'lu'ah al-Farisi. Pembunuhan ini berpunca dendam Abu Lu'Lu'ah kepada Umar yang tidak memihaknya dalam isu kharaj (seperti cukai) dengan majikannya. Di kala ini, Pembunuh Umar r.a. ini disanjung dan dipuja oleh penganut Syiah Imamiyyah. Mereka mengunjungi dan menghormati kuburnya di Kashan, Iran kerana telah berjaya membunuh Umar r.a. Malah beliau digelar Baba Syuja'uddin (Sang pembela agama yang gagah berani).

Abu Lu'lu'ah menikam Khalifah Umar sebanyak enam kali dengan pisau bermata dua sewaktu Umar mengimami solat subuh di Masjid al-Nabawi, Madinah. Tikaman di bahagian perut menyebabkan punca kematian Sayyidina Umar. Sebaik saja menikam Khalifah Umar, Abu Lu'luah cuba lari tetapi ditahan oleh para sahabat yang lain. Apabila ditahan menyebabkan dia terus menggunakan pisaunya untuk menikam mereka yang cuba menangkapnya. Ini menyebabkan berbelas orang sahabat gugur syahid dan cedera. Akhirnya Abdullah bin 'Auf az-Zuhri berjaya memegang bajunya dan terus menariknya sehingga dia rebah di atas lantai. Melihat dirinya telah terkepung, maka dia terus membunuh dirinya sendiri dengan menggunakan pisau ditangannya.

Berbeza ketika Khalifah Abu Bakar meninggal dunia, beliau hanya menamakan Umar sebagai penggantinya yang layak sebagai khalifah. Tetapi Umar Al-Khattab telah menamakan 6 orang pengganti. Antaranya Abu Ubaidah Al Jarrah, Ali bin Abi Talib, Abdul Rahman bin Auf dan Usman bin Affan. Sebenarnya pilihan pertama Umar adalah Abu Ubaidah Al-Jarrah tetapi beliau telah meninggal dunia di Syam akibat wabak taun.

Ketika Umar merasakan dirinya tidak mampu bertahan lama, beliau mengusulkan (penggantinya), " Aku tidak akan membuatnya maka sesungguhnya orang yang lebih mulia daripadaku telah meninggalkan urusan ini(pemilihan) kepada muslimin maka Rasulullah S.A.W sendiri meninggalkan urusan ini. Sekiranya aku membuat pemilihan maka aku akan memilih orang yang lebih baik daripadaku iaitu Saidina Abu Bakar. Jika Abu Ubaidah bin Jarrah masih hidup, nescaya aku akan melantiknya. Jika Salim Abu Huzaifah masih hidup nescaya aku akan melantiknya".

Kemudian beliau memanggil Abdul Rahman bin 'Auf lalu berkata:"Aku mahu memberi sumpah setia kepadamu". Mendengar kata-kata Saidina Umar itu lalu Abdullah bin 'Auf bertanya:" Adakah engkau telah bermesyuarat dalam perkara ini? Jawab beliau:"Demi Allah aku belum lagi berbuat demikian". Kata Abdul Rahman bin 'Auf:"Demi Allah aku tidak masuk campur dalam masalah ini selama-lamanya". Perintah beliau:" Carilah kata putus sehingga aku boleh melantik daripada kalangan mereka yang telah dipilih oleh Rasulullah S.A.W yang mana baginda redha dengan mereka". Abdul Rahman bin 'Auf terus memanggil Saidina Ali, Saidina Uthman, Zubair bin al-Awwam dan Sa'ad bin al-Waqas. Dia berkata :" Tunggulah kehadiran saudaramu Talhah yang mana dia sekarang berada di luar Madinah dan jika tidak maka laksanakan urusan kamu".

Dua hari selepas peristiwa serangan itu, iaitu pada subuh hari pertama bulan Muharram tahun 22 hijrah Khalifah Umar menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam usia 63 tahun iaitu sama dengan umur Rasulullah S.A.W dan Sayyidina Abu Bakar ketika wafat. Suhaib ar-Rumi telah mengimamkan solat jenazah. Beliau dikebumikan dalam bilik Sayyidatina 'Aisyah selepas mendapat keizinannya, iaitu disebelah makam  Rasulullah S.A.W dan Sayyidina Abu Bakar.

Pada hari itu juga para ahli majlis Syura telah bermesyuarat. Daripada keenam-enam sahabat, kesemuanya menolak dan hanya tinggal Ali, Abdul Rahman dan Uthman sahaja.

Abdul Rahman bin Auf juga menarik diri tetapi beliau menawarkan diri untuk menjadi orang tengah. Beliau akan membuat bancian di kalangan penduduk Madinah sama ada mahu Ali bin Abi Talib ataupun Uthman bin Affan sebagai khalifah. Setelah membuat bancian beliau telah berjumpa dengan keduanya dan mereka redha dengan apa juga keputusan Abdul Rahman.


Lalu Abdul Rahman mengangkat tangan Uthman dan menyatakan orang Madinah lebih ramai memilih beliau. Perkara ini menjadi titik tolak perpecahan umat Islam ketika itu kerana pihak yang menyokong Ali mendakwa Abdul Rahman tidak berlaku adil kerana beliau mempunyai hubungan persaudaraan sepupu dengan Uthman. Bagaimanapun Ali menyakini amanah yang dilakukan oleh Abdur Rahman dan membaiat Uthman sebagai khalifah Islam.

No comments:

Post a Comment