Monday, 17 October 2016

Salasilah Pecahan Syiah

Syiah membentuk 10–20% di kalangan komposisi penduduk Islam di dunia dan merupakan rumpun kedua terbesar Islam selepas Islam Sunni, Ahli Sunnah Wal Jamaah. Mereka menyakini kepimpinan Imam hendaklah dari keturunan Ali bin Abi Talib sebagai Imam pertama. Syiah berpecah kepada beberapa kelompok, yang terbesar ialah Syiah Imam Dua Belas dari pecahan Syiah Imamiyah. Istilah syiah secara umum lazimnya merujuk kepada kelompok Syiah Imam Dua Belas ini.




Syiah Zaidiyyah

Selepas Zaid bin Ali meninggal dunia, pengikut-pengikutnya mengasaskan satu mazhab yang terbina di atas fikrahnya dikenali sebagai Zaidiyyah, iaitu nisbah kepada namanya Zaid bin Ali. Bagi mereka yang menolak kepimpinan atau keimaman Zaid bin Ali dinamakan ar-rafidhah.

Syiah Kaisaniyah

Terdapat kelompok minoriti yang dikenali dengan sebutan “Kaisaniyah” menjadikan putera ketiga Saidina Ali a.s. yang bernama Muhammad bin Ali sebagai imam keempat. Beliau adalah anak Saidina Ali dengan isterinya Haulah dari bani Hanifah lalu dikenali Muhammad al-Hanafiah sempena nama kabilah ibunya. Pengikut-pengikutnya menyakini bahawa ia adalah Imam Mahdi a.s. yang ghaib di gunung Ridhawi ketika diburu pemerintah kerana disebabkan oleh pengikut-pengikutnya yang melampau. Pengasasnya adalah Mukhtar bin Ubai al-Thaqafi yang merupakan khadam kepada Muhammad bin Ali bin Abu Thalib. 

Syiah Imamiyah

Sebahagian besar dari mereka datangnya dari golongan ar-Rafidhah. Syiah Imamiyah merupakan aliran Syiah yang paling besar. Ianya juga disebut Syiah Jafariah untuk membezakan dengan puak syiah Zaidiyah dan Kaisaniyah. Terdapat beberapa kelompok kecil dari golongan imamiyah diantaranya Imam Enam (setakat Imam Jafariah), Imam Tujuh (Ismailiah), Imam Lapan (Waqfiyah iaitu sehingga Imam Ali Ridha) dan Imam Dua Belas ataupun Ithna ‘Asyariah, ialah cabang yang terbesar. Lain-lain dalam lingkungan Imamiyah ialah, Muhammadiah, Baqiriah, Nawuusiah, Syumaitiah, ‘Ammariah, Mubarakiah, Musawiah, Qat’iah, Hasyimiah, Zurariah, Yunusiah, Syaithaniah, Kamiliah.

Syiah Ismailiyah

Walaupun didalam kelompok Imamiyah, namun mereka adalah kelompok Syiah yang kedua terbesar selepas Ithna ‘Asyariyah. Kebanyakannya tinggal di India dan Afrika Timur Utara. Kumpulan ini diasaskan oleh pengikut-pengikut Ismail bin Ja'far (721 – 755), iaitu anak pertama Jaafar ash-Shadiq dan abang kepada Musa al-Kazim. Golongan ini mengamal aliran kebatinan yang melibatkan persoalan falsafah, ilmu kalam, tasawuf ,perbandingan agama dan kebebasan mutlak terhadap manusia.

Kelompok terbesar Ismailliyah ialah Aga Khan (Kelompok Nizari), diikuti Bohra Dawoodi (Kelompok Tayyabi) dan Druze.

Agama Baha'i adalah antara agama baru sekarang ini sebenarnya mempunyai kaitannya untuk menghidupkan semula ajaran Ismailliyah. Bagaimanapun agama Baha'i berbeza dengan Syiah, walaupun asal usul pemimpinnya adalah dari Ismailliyah.

Syiah Alawi Nusairiyah

Golongan Syiah yang lebih kecil, seperti Alawi Nusairiyah pula berasal dari ajaran seorang syiah yang bernama al-Kashibi. Al-Kashibi dikatakan pengikut kepada Abu Shu'ayb Muhammad ibn Nusayr (Ibn Nusair). Ibn Nusayr adalah murid kepada Imam ke-11, Hassan al-Askari. Mereka mempunyai pengikut di Lubnan, Turki dan Syria.

Pengiktirafan Golongan Syiah

Antara gerakan-gerakan lain berasal dari syiah ialah seperti gerakan Yazidiah, Baha’i, Qadianiah, Hizbul Jumhuri, Ahbash, Ansar, Harakah Amal dan sebagainya.

Walaupun semua golongan ini adalah dari kelompok syiah ataupun berasal dari fahaman syiah, namun mereka tidak mendapat pengiktiran dari sesama mereka dan sesetengahnya mengkafirkan antara satu sama lain.

Ahli Sunnah Wal Jamaah kini juga tidak mengiktiraf semua golongan Syiah sebagai mazhab Islam yang perlu diikuti malah termasuk Syiah Zaidiyah. Ini kerana pengikut Zaidiyah sekarang berubah dan condong kepada fahaman Muktazilah.

Syiah Zaidiyah

Golongan fahaman Syiah Zaidiyah pada asalnya adalah pengikut Imam Zaid bin Ali Zainal Abidin, cucunda Saidina Husain. Fahaman mereka tidak banyak perbezaan ketara dengan Ahlu Sunnah diera awal kemunculannya. Para imamnya pun lebih seiring pendapat dengan Ahlu Sunnah, malah imam Abu Hanifah dan imam Malik dan imam sunni lainnya, pun pernah menuntut ilmu dari kalangan imam mereka. Sekarang golongan ini masih ramai di Yaman iaitu kira-kira 40% dari jumlah penduduknya.

Pengikut Zaidiah menerima empat Imam Syiah al-Ithna ‘Asyariyyah yang pertama tetapi mereka memilih Zaid bin Ali sebagai Imam kelima (Syiah al-Ithna ‘Asyariyyah memilih saudaranya Muhammad al-Baqir). 5 imam secara tertibnya ialah terdiri daripada;

Ali bin Abu Thalib sebagai Imam pertama
Hasan bin Ali sebagai Imam kedua
Husain bin Ali sebagai Imam ketiga
Ali Zainal Abidin bin Husain sebagai Imam keempat
Zaid bin Ali sebagai Imam kelima
Mereka tidak mengkafirkan para sahabat nabi Muhammad. Bagi pengikut Syiah Zaidiyah, mereka berpendapat Khalifah ar Rasyidin yang dilantik perlulah melalu proses pemilihan umum. Orang yang kurang syaratnya (spt. Abu Bakar, Umar dan Usman) boleh menjadi khalifah jika dipilih walaupun ada orang yang dirasa paling layak (spt. Ali). Malah mereka menyatakan Saidina Ali tidak pernah menuntut kuasa dari Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar. Mereka juga beranggapan imam tidak semestinya maksum.
Namun berlaku perubahan dari zaman ke zaman, pegangan mereka bercampur-campur hinggakan berpecah kepada beberapa aliran, diantaranya; 
Seorang ulamanya, imam Shaleh al-Muqbali (1108H) berpendapat bahawa pengikut Zaidiyah di Yaman adalah pengikut Muktazilah. Namun ada yang cenderung kepada mazhab Hanafi, dan ada yang bermazhab kepada mazhab Syafie. Perbezaan kecenderungan ini adalah fenomena biasa, dikalangan ulama islam sentiasa melakukan ijtihad sendiri.
Menurut Muhammad bin Abdul Karim al-Syahrastani (474-548H/1076-1153M), dalam bukunya (al-Milal wa an-Nihal), Zaid bin Ali Zainal Abidin, iaitu cucu saidina Husain pernah berguru dengan ulama Muktazilah, iaitu Washil bin ‘Atha. Bagaimanapun tidak direkodkan atau dibuktikan bahawa Zaid berideologikan mazhab Muktazilah. Bahkan sebaliknya, Zaid berideologikan mazhab Ahlu Sunnah. Hal ini ditegaskan sendiri oleh imam Ibnu Taimiyah.
Di antara ulama Syiah Zaidiyah yang mirip kepada Ahlu Sunnah, ialah: Imam Muhammad Ibnu al-Wazir al-Yamani (w 840H), Imam Shalih al-Muqbali (w 1108H), Imam al-Amir as-Shan’ani (w 1182H) dan Imam as-Syaukani (w 1250H), yg terkenal dgn nama Nailul Awthar Syarh Muntaqa’ Akbar. Namun demikian, as-Syaukani telah keluar dari syiah zaidiyyah dan masuk kpd Ahlus Sunnah Wal Jamaah.
Bagaimanapun bagi pengikut-pengikut Sulaiman binjarrir al-Zaidi yang menamakan diri mereka sebagai Sulaimaniah, mereka mengiktiraf perlantikan Abu Bakar dan Umar sebagai khalifah walaupun pada mereka Ali lebih layak. Namun, mereka mengecam keras tindakan Uthman, Aisyah, Thalhah dan Zubair kerana menentang Ali bin Abu Talib.
Manakala ulama yang cenderung kepada Muktazilah, ialah: Imam Yahya bin Hamzah al-‘Alawi (w 749H) dan Imam Ahmad bin Yahya al-Murtadha (w 840H), 
Terdapat juga golongan Muktazilah di Baghdad seperti Muhammad Abdullah al-Iskafi dan lainnya, menamakan diri sebagai penganut atau pengikut Syiah Zaidiyah.
Selain itu, terdapat juga yang cenderung kepada Syi’ah Imamiyah, seperti: Imam al-Qasim ar-Rasy (w 246H), Imam Yahya bin Husain ar-Rasy (w 298H), Imam Ahmad bin Yahya bin Husain (w325H), Imam Humaidan bin Yahya (w 656H) dan Imam Ahmad bin Sulaiman (w 566H).
Dalam konteks sokongan kepada ahlul bait, baik Washil bin 'Atha dari golongan Muktazilah mahupun tokoh Ahlu Sunnah, seperti imam al-Hasan al-Bashri, imam Abu Hanifah, imam Malik dan lain-lain semuanya amat bersimpati dan menghormati Ahlul bait.

No comments:

Post a Comment